Nahas pesawat: Polis ambil alih jika ada foul-play - Utusan Malaysia

Nahas pesawat: Polis ambil alih jika ada foul-play

Nahas pesawat
HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Polis akan mengambil alih siasatan lanjut terhadap nahas sebuah pesawat dekat Persiaran Elmina di Shah Alam pada Khamis lepas sekiranya menerima dakwaan foul-play (unsur jenayah) daripada Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini polis selesai melakukan siasatan di bawah klasifikasi kematian mengejut dan pengenalpastian identiti mangsa terlibat.

“Siasatan polis selesai, kita sudah pun rekod saksi-saksi awam semua, yang mana mungkin sebahagian daripada siasatan ini boleh digunakan oleh BSKU. Kita cuma menyiasat kematian, berapa ramai yang terlibat, pengenalpastian mayat, setakat itulah, kalau ada foul-play itu polis akan siasat tetapi setakat ini tak nampak foul-play.

“BSKU akan maklum, kalau nampak anything (mencurigakan) mereka akan maklum, kemudian polis akan ambil alih (siasatan), kita sekarang tunggu makluman daripada BSKU,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau menambah, urusan memanggil wakil syarikat berkaitan dengan pesawat jenis Beechchraft Model 390 (Premiere 1) itu akan dilakukan oleh BSKU yang kini mendapatkan perkhidmatan pakar dari luar negara untuk menyiasat tragedi nahas di tempat kejadian.

Pada pagi tadi, pasukan penyiasat Amerika Syarikat (AS), Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB), Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dan pengeluar pesawat, Beechcraft telah tiba di lokasi nahas di Persiaran Elmina.

Difahamkan, kira-kira 15 anggota daripada tiga agensi itu tiba di lokasi kejadian pukul 8.15 pagi dan terus menjalankan siasatan nahas berkenaan serta memeriksa serpihan milik pesawat terbabit yang diambil untuk dibawa ke makmal bagi menyiasatnya.

Dilihat, mereka sedang memeriksa beberapa cebisan objek, dipercayai milik pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) dan memasukkan objek ke dalam bekas untuk dibawa ke makmal untuk siasatan.

Dalam pada itu, Hussein memaklumkan setakat ini tiada saksi baharu tampil untuk memberi keterangan dan berkongsi sebarang bahan seperti gambar dan video yang boleh menguatkan lagi siasatan polis.

“Setakat ini tiada tambahan saksi, itu sahaja. Tetapi, kita masih menunggu kalau ada pihak yang memiliki sebarang bahan seperti gambar, video dan sebagainya berkaitan tragedi tersebut yang boleh membantu siasatan, kita tunggu,” ujarnya.

Pada khamis lalu, sekurang-kurangnya 10 terkorban termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Subang.

Bagaimanapun, pesawat terbabit terputus hubungan dengan menara kawalan sebaik sahaja mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan.

Mangsa yang berada dalam pesawat seramai lapan orang terdiri daripada enam lelaki serta dua anak kapal termasuk seorang juruterbang manakala dua lagi merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan melalui Persiaran Elmina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya