Nahas pesawat: HTAR kembali dipenuhi kehadiran waris - Utusan Malaysia

Nahas pesawat: HTAR kembali dipenuhi kehadiran waris

Nahas pesawat
WARIS keluarga mangsa nahas pesawat ringan di Persiaran Elmina menunggu dekat khemah menunggu di luar pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, HTAR, di Klang, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Suasana di luar pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, hari ini mula dipenuhi kehadiran waris keluarga mangsa nahas pesawat di Persiaran Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu.

Kehadiran mereka hari ini selepas Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada malam tadi memaklumkan kesemua baki sembilan jenazah akan dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumiannya, hari ini.

Turut kelihatan adalah waris dan ahli keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang merupakan salah seorang penumpang pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Subang.

Selain itu, lebih 20 petugas media terdiri daripada wartawan, jurugambar dan juruvideo juga sudah pun berada di luar pekarangan tersebut sejak pukul 7 pagi lagi bagi melaporkan perkembangan terkini urusan tuntutan sembilan jenazah selepas proses forensik dan pengecaman selesai semalam.

Pada pagi ini, jenazah Allahyarham Johari dilapor akan dibawa keluar dan disolatkan kali pertama di Masjid Jamel Al-Rahimiah, di sini pukul 9 pagi sebelum dibawa ke Masjid Saidina Hamzah, Jalan Batu Muda, Kuala Lumpur untuk disolatkan sekali lagi.

Jenazah beliau dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves pada tengah hari ini.

Semalam, jenazah pertama iaitu penunggang motosikal, Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, selamat dikebumikan dekat kampungnya di Kampung Jerung, Sungai Petani, Kedah, pada petang semalam selepas ia dibenarkan dituntut oleh ahli keluarganya dan dibawa oleh van jenazah dari Jabatan Perubatan Forensik hospital itu kira-kira pukul 11 pagi.

Sekurang-kurangnya 10 warga tempatan maut dalam nahas sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) pada pukul 2.40 petang Khamis lalu di Persiaran Elmina, Seksyen U16, di sini, yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Bagaimanapun, pesawat terbabit terputus hubungan dengan menara kawalan sebaik sahaja mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan.

Mangsa yang berada dalam pesawat seramai lapan orang terdiri daripada enam lelaki termasuk Johari serta dua anak kapal termasuk seorang juruterbang.

Sementara dua lagi merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di Persiaran Elmina berhampiran susur masuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dari arah Denai Alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya