Nahas pesawat: Bomba jangka mulakan kerja pembersihan hari ini - Utusan Malaysia

Nahas pesawat: Bomba jangka mulakan kerja pembersihan hari ini

Nahas pesawat
ANTARA serpihan dipercayai daripada pesawat ringan yang terhempas dekat Persiaran Elmina, Seksyen U16 di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / MOHAMAD ATHIR ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dijangka memulakan kerja-kerja pembersihan kawasan nahas pesawat dekat Persiaran Elmina, Seksyen U16 di sini, hari ini.

Kerja-kerja tersebut akan dilakukan selepas operasi pencarian mayat dan cebisan anggota badan mangsa insiden pesawat ringan terhempas semalam selesai dilakukan kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

Pengarahnya, Wan Md Razali Wan Ismail berkata proses tersebut dijangka dimulakan hari ini dan sebarang perkembangan lanjut berkenaan operasi akan dimaklumkan kemudian.

“Seramai 21 pegawai dan anggota bomba serta lima dari Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Saujana Utama dikerahkan ke tempat kejadian Pada hari ini kita mungkin mulakan kerja pembersihan tapak kawasan, maklumat lain akan diberitahu kemudian,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Sementara itu, difahamkan satu sidang akhbar khas akan diadakan pada pukul 9.30 pagi ini oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk memaklumkan perkembangan terkini operasi pencarian dan siasatan di tapak nahas pesawat.

Dalam sidang akhbar pada malam tadi, beliau memaklumkan seramai 240 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk polis, JBPM, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi lain seeperti Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Prolintas.

Beliau memaklumkan kesemua pasukan terlibat dalam operasi pencarian serta kawalan keselamatan bertugas sejak petang semalam sebelum kesemua 10 mayat mangsa serta lima bungkusan cebisan ditemukan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Terdahulu, sekurang-kurangnya 10 warga tempatan maut dalam nahas sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) pada pukul 2.40 petang tadi di Persiaran Elmina, Seksyen U16, di sini, yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Bagaimanapun, pesawat terbabit terputus hubungan dengan menara kawalan sebaik sahaja mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan.

Mangsa yang berada dalam pesawat seramai lapan orang terdiri daripada enam lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun serta dua anak kapal termasuk seorang juruterbang.

Sementara dua lagi merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di Persiaran Elmina berhampiran susur masuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dari arah Denai Alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya