LUMUT: Kegagalan pemandu mengawal kenderaan disyaki menjadi punca kereta dipandunya terbabas sebelum terbakar menyebabkan empat rentung dalam kejadian di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, terdahulu kereta Proton Saga Iswara dinaiki lima lelaki dari arah Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam perjalanan pulang ke Ipoh.
“Apabila tiba di Kilometer 22 WCE arah utara, disyaki pemandu berusia 56 tahun hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan dan masuk ke dalam longkang di bahu kiri sehingga terbakar,” katanya di sini.
Menurutnya, empat yang rentung terdiri daripada pemandu; penumpang hadapan berusia 50 tahun; serta dua penumpang belakang berumur 45 dan 53 tahun, yang semuanya meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, seorang penumpang belakang berusia 54 tahun terselamat tetapi cedera parah dan dirawat di Hospital Seri Manjung.
Beliau menjelaskan, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Lily Surya Roslaili di talian 013-6559093. – UTUSAN







