BUTTERWORTH: Seorang murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang To’ Kandu di Seberang Jaya di sini, tidak menjadikan kekurangan dirinya sebagai penghalang untuk menanam impian mengharumkan nama negara dalam sukan kriket.
Nik Iskandar Shah Putra Nik Ahmad Azmi, 12, yang dikategori orang kurang upaya (OKU) austime (masalah pembelajaran) berkata, dia gembira dan bangga apabila terpilih menjadi salah seorang atlet sekolah dalam Kejohanan Kriket Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Bawah 12 tahun iaitu kejohanan tertinggi peringkat sekolah setelah melepasi kejohanan di peringkat sekolah dan negeri.
“Seronok dapat bersukan dengan kawan-kawan. Malah rasa tak sabar untuk ke Selangor bagi mengharungi kejohanan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Nik Iskandar Shah Putra yang ditemani nenek yang juga merupakan penjaganya, Wanaidah Wan Jaafar, 60, berkata, dia memasang impian mewakili negara pada sukan Komanwel dan Olimpik dalam sukan kriket suatu hari nanti.
“Kalau ada rezeki, saya nak jadi wakil negara untuk sukan kriket dalam sukan Komanwel dan Olimpik. Saya nak bawa nama Malaysia (di pentas dunia) supaya orang kenal kita,” katanya yang merupakan anak sulung daripada dua beradik.
Murid tahun enam di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah tersebut menyeru mereka senasib dengannya memberanikan diri untuk terlibat dalam bidang yang diminati.
“Jangan malu nak mencuba dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya. Saya berada di tahap ini pun sebab sokongan dan bantuan yang diberi oleh pihak sekolah khususnya guru-guru,” katanya sambil menyifatkan warga sekolah itu sebagai keluarga besarnya. – UTUSAN











