MOTAC sasar 3.2 juta pelancong Muslim - Utusan Malaysia

MOTAC sasar 3.2 juta pelancong Muslim

KHAIRUL Firdaus Akbar Khan (kiri) pada pelancaran Bulan Pelancongan Islam oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) di Ipoh. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan kemasukan 3.2 juta pelancong Muslim ke negara ini sepanjang tahun ini.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, jumlah itu merupakan 20 peratus daripada 16.1 juta sasaran keseluruhan pelancong asing ke negara ini tahun ini.

Menurutnya, tahun lalu kemasukan pelancongan Muslim mencatat 2.1 juta orang.

“Untuk itu, kementerian akan fokus mempromosikan Pusat Pelancongan Islam (ITC) khusus buat pelancong dari negara-negara Islam minoriti.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dan kita akan mempromosikan ITC ini kepada negara Islam minoriti untuk mereka merasai kehidupan di negara yang majoriti penduduknya Islam.

“Kita sasarkan sebanyak 20 peratus kemasukan pelancong Muslim daripada 16.1 juta pelancong keseluruhan yang disasarkan tahun ini,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Bulan Pelancongan Islam (ITM 2023) di sini semalam.

Majlis dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut Khairul Firdaus, kerajaan juga yakin jumlah pelancong asing ke negara ini tahun ini melebihi sasaran 16.1 juta, terutamanya jumlah pelancong Muslim.

Beliau berkata, ini kerana Malaysia adalah perintis kepada Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) selain majoriti penduduknya yang beragama Islam.

“Hasrat itu mampu dicapai sekiranya pemain industri pelancongan Muslim ini memainkan peranan masing-masing secara kolektif dan holistik selain peranan yang dimainkan oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC).

“Pelancong Muslim merupakan pasaran yang semakin berkembang dalam industri pelancongan.

“Sebab itu kita tekankan mengenai MFTH agar pemain tempatan dapat memperluaskan lagi tawaran sebagai salah satu nilai tambah industri pelancongan Islam dalam negara,” katanya.

Menurutnya, walaupun Malaysia terkenal dengan destinasi pelancongan Musim namun ada beberapa aspek perlu ditambah baik.

“Antaranya kita sering terlepas pandang untuk promosikan pelancongan Muslim di negara minoriti Muslim kerana mereka ini sebenarnya turut mahu merasai apakah pendekatan MFTH dan kita akan berusaha ke arah itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya