SHAH ALAM: Tempoh 24 jam diberi Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil kepada dua individu untuk memohon maaf dan menarik balik tuduhan atau berdepan saman kerana melontar fitnah kononnya beliau menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, baru-baru ini.
Fahmi berkata, notis tuntutan telah dihantar oleh peguamnya kepada penceramah bebas Ahmad Dusuki Abdul Rani dan pentadbir Laman Facebook ‘N13 Kuang’ petang semalam.
Menurutnya, notis tersebut bagi membersihkan namanya daripada tuduhan mengadakan ceramah di masjid sedangkan beliau cuma menjelaskan tindakan mengharamkan kumpulan muzik The 1975 seperti diminta oleh ahli jawatankuasa masjid ketika singgah solat di situ.
“Masa itu ada orang tangkap gambar dan tulis saya ceramah tanpa tauliah, berpolitik dan kempen di dalam masjid sedangkan ia bukan begitu.
“Alhamdulillah, petang tadi Ketua Polis Selangor mengumumkan setelah 22 saksi disiasat, beliau kata saya, Fahmi Fadzil tidak bersalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan sempena PRN Selangor di Sungai Kandis, dekat sini, malam tadi.
Jelasnya lagi, notis tersebut juga adalah bagi menunjukkan bahawa perbuatan memfitnah tidak boleh sama sekali dikompromi terutama dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri yang sedang berlangsung.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tidak ada sebarang unsur kempen politik dalam ucapan Fahmi yang dilaporkan berlaku di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang hujung minggu lalu. – UTUSAN