MIC jumpa Anwar luah rasa tidak puas hati

MIC jumpa Anwar luah rasa tidak puas hati

S.A. Vigneswaran (kiri) mengiringi Anwar Ibrahim selepas Majlis Pertemuan Khas di Ibu Pejabat MIC, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MIC meluahkan rasa tidak puas hati kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas merasakan dianaktirikan oleh Kerajaan Perpaduan sejak lebih lapan bulan memerintah negara.

Meluahkan kekesalan partinya, Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, MIC kini berada di persimpangan jalan terhadap kedudukannya di dalam Barisan Nasional (BN) selepas tidak diberikan laluan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos depan.

Beliau turut menyatakan bahawa ketidakselesaan MIC terhadap layanan diterima daripada kerajaan dan BN berhubung pelbagai isu termasuk tidak diberikan tempat kepada Ahli Parlimennya ke jawatan menteri bahkan diserapkan ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau pada Perjumpaan Khas bersama Perdana Menteri itu turut berkongsi ketidak puas hati dalam perbincangan dalam kalangan komponen BN berhubung pembahagian kerusi pada PRN.

“Walaupun ada perbincangan tetapi ia tidak mencerminkan semangat yang kami jangkakan khususnya di kerusi yang ingin kami tandingi.

“UMNO adalah parti yang besar, mereka sendiri ‘bertarung’ untuk kerusi yang ingin kami tandingi. Justeru, semangat untuk menyerahkan kerusi (DUN) Jeram Padang kepada UMNO adalah keputusan yang sangat besar,” katanya pada Perjumpaan Khas MIC Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Turut hadir pada perjumpaan tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Vigneswaran juga turut menyatakan beliau terkejut melihat kehadiran Ahmad Zahid, justeru mengatakan bahawa ‘tidak boleh bercakap’ dengan Presiden UMNO tersebut.

“Saya jangka beliau tidak hadir,” katanya dalam nada berseloroh.

Berhubung kenyataannya berkaitan jawatan menteri dan GLC, Vigneswaran berkata, MIC bukanlah gilakan jawatan sebaliknya menuntut penghormatan daripada semua pihak selepas memberikan sokongan terhadap penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“MIC telah lama wujud sehinggakan kami memutuskan untuk berenang dan karam bersama BN. Jika mahu menyalahkan MIC, kami hanya menurut ‘abang besar’ UMNO. Kami tidak boleh mengubah banyak berkaitan polisi kami,” katanya.

Bagaimanapun, dalam pertemuan bersejarah itu, Vigneswaran dan seluruh kepemimpinan MIC yang hadir berikrar untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar sehingga akhir penggal.

Beliau juga mengarahkan jentera MIC di seluruh negeri yang bertanding pada PRN Ogos depan untuk sama-sama turun padang membantu calon Pakatan Harapan (PH) dan BN di kawasan masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya