MELAKA: Kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 40 buah bangunan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) akan dibina menjelang 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, keseluruhan bangunan itu mampu menempatkan lebih 40,000 pekerja asing `di negeri ini.
Kata beliau, buat masa ini sebanyak 15 kuarters atau asrama telah dibangunkan di beberapa lokasi berhampiran kawasan perindustrian.
“Bagaimanapun jumlah itu masih belum dapat menampung jumlah buruh yang kini mencecah 63,500 orang. Kita sedang berusaha mendapatkan kerjasama daripada syarikat kontraktor untuk membangunkan lebih banyak CLQ.
“Kita sasarkan sekurang-kurangnya sebanyak 40 kuaters siap dibina menjelang 2025. Sasaran ini adalah keperluan yang selari dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang memutuskan semua pekerja asing hendaklah ditempatkan di CLQ mulai 2025.
“Berdasarkan perancangan tersebut kita yakin Melaka bakal menjadi negeri contoh dalam pengurusan penempatan buruh dengan penginapan lebih kondusif, terancang dan selamat,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Penutupan Program Pendidikan Perburuhan Bil 3/2023: Executive Talk Melestari Perumahan dan Penginapan Pekerja Negeri Melaka 2023 di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia, Mohd. Asri Abdul Wahab.
Sementara itu, Mohd. Asri memaklumkan, sehingga kini JTK telah mengeluarkan sebanyak 30,093 sijil perakuan kepada majikan yang menyediakan penginapan mematuhi peruntukan dan standard minimum di bawah Akta 446.
Menurutnya, sebanyak 391 operasi penguatkuasaan telah dijalankan dan sebanyak 1,621 kertas siasatan telah dibuka sejak 2020 sehingga kini membabitkan pelbagai kesalahan khususnya di bawah Seksyen 24D Akta 446.
“Jumlah denda yang dikenakan dalam pendakwaan mencecah RM1.4 juta dan nilai kompaun sebanyak RM8.1 juta. Kita berharap agar penggiat industri terutama syarikat-syarikat swasta akan memilih dan menggunakan sepenuhnya pusat penginapan pekerja bagi memastikan standard kehidupan pekerja dapat ditingkatkan dan terjamin,” ujarnya. –UTUSAN