SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor dijangka mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Alam Shah pada Sabtu ini dan Datuk Seri Amirudin Shari dicadangkan untuk kekal mengetuai kerajaan negeri bagi penggal ke-15.
Menurut sumber, pada peringkat awal tarikh dicadangkan kepada istana adalah esok (Khamis), namun ditunda memandangkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah baru selamat tiba dari London, United Kingdom (UK), semalam.
“Setakat ini itu tarikh yang diketahui dan pimpinan parti dimaklumkan pihak istana sedang membuat persiapan untuk istiadat tersebut. Kini pimpinan parti sedang menunggu pemakluman rasmi dari istana untuk mengangkat sumpah,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) berjaya menguasai 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri.
Antara kerusi dimenanginya termasuklah DUN Sungai Tua oleh Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Seri Setia, Dr. Fahmi Ngah dan Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah.
Sementara BN pula menang di dua DUN iaitu Dusun Tua yang diwakili Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan BN Selangor, Datuk Johan Abd. Aziz dan Datuk Rizam Ismail pula di Sungai Air Tawar.
Dalam pada itu, sumber sama turut memaklumkan terlalu lewat untuk diadakan istiadat angkat sumpah Menteri Besar pada Isnin ini seperti dilaporkan oleh akhbar lain.
“Tak mungkin Isnin, kerana tiada makluman lain selain daripada Sabtu ini dan dilihat terlalu lewat untuk ditunda sehingga hari tersebut kerana tinggal Selangor sahaja lagi yang belum ada Menteri Besar,” ujarnya.
Sultan Selangor sebelum ini dilaporkan berangkat ke London pada 28 Julai lalu bagi mendapat rawatan Holmium Laser Enucleation of the Prostate (HoLEP) dan baginda kemudian selamat tiba di tanah air seperti dijadualkan, semalam. – UTUSAN










