KUALA LUMPUR: Konsert Nusafest Kunto Aji di Kuala Lumpur yang berlangsung Jumaat lalu, menjadi antara lokasi penutup persembahan album Mantra Mantra yang bakal berakhir bulan ini.
Kunto Aji berkata, keputusan itu dibuat memandangkan penyanyi asal Jogjakarta itu bakal memberikan fokus persembahan dengan memperkenalkan album baharunya yang bakal terbit September ini.
“Bulan ini adalah album penutup untuk konsert Mantra Mantra. Saya bakal tampil dengan album baharu yang sudah lengkap dan akan dilancarkan pada September.
“Album baharu itu nanti akan menjadi rangkuman perasaan saya melalui lima tahun seperti melalui pandemik dan kehilangan bapa.
“Saya cuba meletakkan perasaan paling besar yang saya rasakan selama lima tahun itu iaitu tentang kedewasaan dan tumbuh. Saya membayangkan kepala saya seperti ranting yang tumbuh mencari cahaya,” katanya kepada Utusan Malaysia, kelmarin.
Penyanyi Mercusuar itu turut bersyukur dengan kejayaan album Mantra Mantra yang membuatkan namanya semakin meledak sehingga diundang mengadakan konsert di Malaysia sebanyak dua kali.
Bukan itu sahaja, lagu di dalam album tersebut juga sering dilabel sebagai ‘lagu healing’ iaitu muzik yang membantu mereka yang sedang melalui fasa masalah kesihatan mental.
“Saya bersyukur Mantra Mantra banyak membuat orang bercakap tentang perasaan.
“Saya selalu mendidik pendengar agar mereka tidak salah anggap dengan merasakan lagu saya boleh mengubati mereka. Berjumpa pakar dan mereka yang lebih profesional jika mahu mendapatkan bantuan.
“Kadangkala orang hanya mahu didengar mungkin mereka tidak mempunyai kawan rapat. Mungkin dengan mendengar muzik, mereka terasa seperti dibantu,” tambahnya.
Menerusi konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, Kunto Aji berjaya ‘menyihir’ lebih 2,000 pengunjung.
Penyanyi yang menggenggam trofi Breakthrough Artist of the Year, Indonesian Choice Awards 2015 itu membawakan 18 lagu hit seperti Mercusuar, Topik Semalam, Terlalu Lama Sendiri dari album Generasi Y, juga lagu-lagu seperti Pilu Membiru, Rehat, Sulung dari album Mantra Mantra.