KUALA TERENGGANU: Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Luqman Long berjanji melepaskan semua jawatan dalam kepimpinan parti itu sekiranya tewas dan hilang deposit di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar.
Menurut Luqman, hasrat untuk melepaskan semua jawatan di peringkat kepemimpinan tertinggi parti sebagai tanda beliau serius menggalas cabaran itu di Terengganu.
“Saya benar-benar serius masuk bertanding ke Terengganu, bukan untuk main-main atau sekadar masuk untuk pecah undi.
“Tapi saya masuk bertanding pilihan raya negeri (PRN) dengan matlamat yang serius mahu menang dan berada dalam barisan kepimpinan DUN Terengganu selepas ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin tular di media sosial mengenai janji Luqman yang mahu melepaskan jawatan sekiranya gagal memperoleh satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.
DUN Bandar mempunyai seramai 22,057 pengundi berdaftar pada PRN kali ini.
Daripada jumlah itu, seramai 14,698 orang adalah pengundi Melayu, Cina (6,951) India (259) dan lain-lain (149).
PRN kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru untuk DUN Ladang iaitu Luqman yang menentang penyandang, Ahmad Shah Mohamed daripada Pas dan calon Barisan Nasional (BN) Armi Irzan Mohd.
Mengulas lanjut, Luqman yang juga Pengarah Pilihan Raya Muda berkata, ahli dan penyokong akar umbi Muda tidak perlu mempersoalkan kesetiaannya terhadap parti sekiranya hilang deposit dalam PRN ini.
“Ada jawatan atau tidak, saya akan tetap bersama-sama terus berjuang dalam parti untuk memastikan negara kita mempunyai tadbir urus yang baik, telus dan jujur seperti yang diimpikan Muda selama ini.
“Komitmen ini juga adalah satu mesej kepada calon lain bahawa setiap satu ruang dan peluang untuk kamu wakili parti, gunalah peluang itu betul-betul,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN Bandar dimenangi oleh Ahmad Shah Mohamed dari Pas yang menewaskan penyandang sebelum itu, Azan Ismail (PH) dan Toh Seng Cheng (BN) dengan majoriti 2,091 undi. – UTUSAN










