Lembaran baharu Shila, Ubai - Utusan Malaysia

Lembaran baharu Shila, Ubai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYANYI, Shila Amzah, 33, menyifatkan perkahwinan kedua bersama pempengaruh media sosial, Ubai Mz, 25, ibarat melangkah ke satu lembaran baharu dalam hidupnya.

Ditemui wartawan sewaktu majlis pernikahannya Sabtu lepas, Shila memaklumkan enggan membawa sebarang kenangan dari perkahwinan pertama dan mahu terus menjalani kehidupan baharu bersama Ubai.

“Tiada apa yang saya bawa dari perkahwinan pertama, semua telah saya lupakan. Saya percaya, perkahwinan ini adalah lembaran baharu untuk saya dan Ubai.

“Kehidupan kami (selepas ini) ibarat melangkah ke fasa baharu. Kami berjanji agar jadi pasangan terbaik untuk satu dengan lain.

“Perjalanan kami, liku yang telah kami tempuh, bukan mudah. Itu sahaja cukup memberi motivasi dan mengingatkan kami kepada apa yang kami rancang,” katanya.

Shila dan Ubai disatukan dalam majlis pernikahan serba sederhana yang dihadiri keluarga terdekat dan teman rapat.

Kedua mempelai enggan berlebih-lebihan menyambut hari bahagia mereka lebih-lebih lagi dalam keadaan Ubai yang baru kehilangan Ibu tersayang, Julai lepas.

“Saya hanya mahu melihat wajah orang tersayang, santuni dan rakamkan setiap kenangan dengan mereka di hari perkahwinan saya. Sebab itu majlis kami dibuat dalam serba sederhana dengan kehadiran sekitar 200 tetamu.

“Akan ada resepsi sebelah keluarga Ubai. Majlis tersebut juga dibuat sederhana. Ibu Ubai baru meninggal dunia, kerana itu kami sambut kegembiraan ini dalam kesederhanaan,” kata Shila.

USIA BUKAN ISU

Itu jawapan Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli apabila disoal tentang perbezaan jarak umur antara dia dan Shila.

“Usia adalah perkara subjektif, justeru ia bukan penghalang untuk kami menjadi suami isteri.

“Shila mungkin lebih berumur tetapi saya nampak lebih matang berbanding dia. Apa pun, umur tidak menjadi isu,” jawabnya.

CAHAYA MATA

Bercerita soal zuriat, Shila memaklumkan dia dan suami tidak meletakkan sebarang perancangan tertentu untuk memiliki anak.

Katanya, mereka menyerahkan soal itu kepada ketentuan Allah S.W.T.

“Kami mahu perkahwinan ini berjalan mudah, kalau ada cahaya mata, adalah.

“Kami ada berbincang soal ini dan sepakat untuk menerima rezeki cahaya mata. Seandainya ada, kami tidak menolak,” kongsinya.

Dalam pada itu, Ubai memaklumkan dia tidak akan menghalang Shila untuk meneruskan kerjaya seninya malah bersikap terbuka sekiranya isterinya itu terpaksa terbang ke China bagi melebarkan lagi kerjayanya di negara itu.

“Saya faham kerja dia sebagai penyanyi. Rezeki ada di mana-mana, baik Malaysia atau China. Jadi saya tak akan halang Shila, asalkan dia gembira.

“Dia juga sama, tidak pernah halang kerja saya sebagai produser di Astro.

“Apa pun, kami saling merancang. Sekiranya Shila terpaksa terbang dan berada di China untuk tempoh lama, saya sesekali juga akan terbang ke sana untuk bersamanya,” ujar Ubai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN