Lapor polis jika benar ada perangkap terhadap Sanusi

Lapor polis jika benar ada perangkap terhadap Sanusi

SAIFUDDIN Nasution Ismail (tengah) bersama Asmirul Anuar Aris bertanya khabar kepada peniaga di Pasar Besar Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden diminta membuat laporan polis jika beliau benar-benar percaya terdapat perangkap yang dipasang terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hingga menyebabkan tidak dapat berceramah di Taman Ria, Sungai Petani, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab, Afnan seharusnya segera menggunakan saluran undang-undang dan bukannya mencipta persepsi untuk menagih simpati.

“Keseluruhan perjalanan kempen di enam negeri semuanya berjalan tertib, mengikut peraturan dengan semua parti bertanding bebas menganjurkan ceramah dan sesi penerangan. Tak ada insiden di Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kecuali beberapa kes vandalisme melibatkan papan iklan memaparkan wajah Perdana Menteri.

“Pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri membuat pemantauan sepanjang masa tetapi apabila dikatakan sudah sampai separuh jalan tetapi terpaksa balik atas faktor keselamatan, maka mereka cuma perlu tampil mengadu kepada pihak berkuasa.

“Biar pihak berkuasa jalankan tugas tetapi cipta naratif untuk bina persepsi seolah-olah sampai begitu ancaman dihadapi macam Afnan kata kononnya ada perangkap, maka pergilah buat laporan polis dan beritahu siapa buat perangkap dan apa nak dibuat kerana hanya beliau yang ada maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berkempen bersama calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris di Pasar Besar Alor Setar di sini, hari ini.

Kelmarin Ketua Pemuda Pas Kedah, Nasrun Othman dalam Program Sembang Santai di Taman Serai Wangi, Padang Serai memaklumkan, Muhammad Sanusi tidak dapat hadir ke program tersebut disebabkan isu keselamatan yang serius.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, reaksi ditampilkan Perikatan Nasional (PN) dan Muhammad Sanusi ketika ini seolah-olah cuba mencipta simpati atau ‘play victim’ dengan watak ditampilkan itu berbeza berbanding sifat garang ditonjolkan selama ini.

“Apabila dikatakan ada ancaman atau perangkap, saya fikir itu satu alasan yang direka. Pilihan raya ini bermaksud peluang untuk kita berjumpa seberapa ramai pengundi tetapi nampaknya reaksi malam tadi semacam mencipta simpati atau ‘play victim’.

“Ini merupakan percubaan untuk mengalih isu utama (unsur nadir bumi) dan tindakan sedemikian menunjukkan bagaimana defensifnya seorang Ketua Pengarah Pilihan Raya PN bernama Muhammad Sanusi,” katanya.

Tambahnya, apa yang terjadi memberi peluang kepada rakyat Kedah melihat sendiri bagaimana pihak terlibat cuba mengalih isu apabila gagal menjawab hujah-hujah dikemukakannya dalam isu nadir bumi.

“Mereka cipta satu isu lain yang tidak konsisten. Saya fikir rakyat Kedah boleh lihat bahawa satu undi kepada PN di Kedah, adalah satu undi untuk merestui kecurian terus berlaku. Manakala satu undi kepada Kerajaan Perpaduan adalah untuk mengurus hasil negeri ini dengan lebih baik dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sewajarnya,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN