PETALING JAYA: Pengurusan TV Pertiwi berasa amat kesal dan kecewa dengan tindakan pihak berkuasa yang didakwa menyekat akses ke laman web tvpertiwi.com.my hari ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Mohd. Firdaus Salleh Hudin berkata, semakan pihaknya menerusi hasil ping ke alamat tvpertiwi.com.my menunjukkan terdapat penyekatan DNS dengan data memaparkan IP Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM): 175.139.142.25.
Katanya, sehingga pukul 6.30 petang, TV Pertiwi tidak diberi sebarang notis berhubung sekatan yang tidak bertanggungjawab itu.
“Sekatan terhadap laman web ini dikesan sekurang-kurangnya di dua penyedia perkhidmatan internet (ISP), Maxis dan Unifi.
“Sekatan ini adalah sangat tidak wajar dan bercanggah dengan seruan kebebasan media dan kebebasan bersuara yang dilaungkan oleh pihak kerajaan terutamanya parti Pakatan Harapan ketika mereka menjadi pembangkang,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Firdaus berkata, pihaknya justeru menggesa kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital serta SKMM menjelaskan perkara itu selain menyatakan kesalahan telah dilakukan portal itu.
“TV Pertiwi selaku sebuah organisasi media bebas sewajarnya diberikan keadilan dan berhak menyiarkan kandungan termasuk mengkritik kerajaan dengan menggunakan hak kebebasan media dan hak kebebasan bersuara,” katanya.
Untuk rekod pada 15 Ogos lalu, akaun TikTok TV Pertiwi juga disekat tanpa sebarang penjelasan.
“Sekatan ini juga menimbulkan persoalan di manakah sikap keterbukaan pihak kerajaan dalam berinteraksi dengan kepelbagaian pandangan berkaitan isu politik dan isu semasa,” katanya.-UTUSAN