PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan akses lebih mudah bagi program Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di institusi seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di seluruh negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu bagi menarik minat masyarakat mengikuti program TVET.
Menurut beliau, peratus kemasukan pelajar bagi mengikuti program TVET di institusi seliaan KPT direkodkan amat memberangsangkan terutama bagi sesi akademik baharu 2023/2024.
Ia merekodkan purata 76 peratus khususnya menerusi 26 program pengajian yang ditawarkan empat Rangkaian Universiti Teknikal (MTUN) berstatus program TVET.
“Keempat-empat MTUN itu berjaya mencapai peratus yang baik dengan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sebanyak 87.41 peratus dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meliputi 88 peratus.
“Selain itu ialah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) merekodkan sebanyak 71.82 peratus dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pula berjumlah 73.33 peratus,” katanya di sini semalam.
Mohamed Khaled berkata, bagi pelajar politeknik pula, statistik pendaftaran pelajar pada Sesi I 2023/2024 ini secara purata mencatat pencapaian sebanyak 87 peratus atau seramai 19,967 pelajar di seluruh Politeknik Malaysia.
Jelasnya, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 17.47 peratus berbanding sesi sama pada 2022/2023 lalu.
“Bagi Program Asasi TVET di lima buah politeknik, sebanyak 88.2 peratus pengisian dibuat daripada 500 tempat yang disediakan.
“Lima politeknik itu ialah Politeknik Ungku Omar (PUO) di Perak, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di Kuantan, Politeknik Merlimau Melaka (PMM) di Melaka, Politeknik Sultan Syed Sirajuddin (PTSS) di Perlis dan Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN) di Johor,” katanya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan lebih 70 peratus atau 4,630 daripada 6,361 calon yang ditawar kemasukan ke Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) bagi sesi pertama tahun ini menolak melanjutkan pelajaran dalam pendidikan TVET.
Jumlah permohonan untuk melanjutkan pelajaran di institusi itu juga menurun dalam tempoh tiga tahun iaitu tahun 2019 seramai 16,989 memohon, menurun kepada 7,496 pada 202 dan tahun 2021 seramai 9,833.
Dalam hal itu, Mohamed Khaled menyifatkan, ILKBS yang memberi penekanan kepada pengeluaran sijil tidak mencerminkan minat masyarakat terhadap TVET secara menyeluruh.
Ini memandangkan banyak institusi lain yang menawarkan program TVET termasuk di bawah seliaan KPT mendapat sambutan menggalakkan. – UTUSAN










