'Korbankan' 40 hektar tanah sawah bina sekolah menengah

‘Korbankan’ 40 hektar tanah sawah bina sekolah menengah

KAWASAN bendang yang ditebus guna untuk pembinaan sekolah di Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Petani di kawasan bendang Cherang Ruku di sini, terpaksa ‘berkorban’ dengan melepaskan lebih 40 hektar tanah sawah mereka bagi memberi laluan kepada pembinaan sekolah menengah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Unit Pesawah Bendang Cherang Ruku, Alias Mat Rani berkata, walaupun berat untuk berbuat demikian mereka terpaksa merelakan bagi memastikan generasi akan datang mendapat pendidikan sebaik mungkin.

Menurutnya, pengambilan itu turut menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada kawasan penanaman padi semakin berkurangan di negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun kawasan ini tidak mempunyai kemudahan sistem pengairan dan saliran yang baik sebagaimana bendang lain, namun kami tetap aktif menjayakan tanaman padi sebanyak dua kali setahun.

“Sudah hampir lima tahun bayaran pampasan dilunaskan kepada semua pemilik, namun sehingga hari ini tiada sebarang kerja pembangunan sekolah,” katanya ketika ditemui di bendang Cherang Ruku, di sini semalam.

Alias yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semerak memberitahu, masalah sistem pengairan dan saliran turut menjadi punca beberapa pemilik tanah menebus guna tanah kawasan itu bagi bagi projek perumahan.

Katanya, petak sawah padi di kawasan itu mengharapkan sepenuhnya kepada taburan hujan selain menggunakan enjin pam bagi yang berkemampuan.

“Fenomena kemarau panjang menyebabkan mereka sering kerugian dan hilang minat untuk mengusahakan sawah,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pesawah, Mohd. Nor Awang Mat, 60, berkata, pihak berkenaan seharusnya segera menyediakan kemudahan pengairan bagi menyuntik semangat pesawah mengusahakan tanaman padi dengan hasil yang lebih produktif.

Katanya, tanpa sistem pengairan pesawah di kawasan ini tetap gigih mengusahakan tanaman padi dua kali setahun yang seharusnya mendapat perhatian serius agensi pertanian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini