BANGI: Konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diusulkan sebagai pengganti peradaban dunia masa kini yang disifatkan sudah rosak, sekali gus menjadi peradaban alternatif dunia Islam.
Guru Besar Politik Islam Global, Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Indonesia, Prof. Dr. M. Din Syamsuddin berkata, beliau berpandangan bahawa wawasan masyarakat Madani adalah penting dan sesuai untuk dunia masa kini.
Menurutnya, manusia pada masa kini menghadapi masalah besar bahkan ada segelintir pihak menyifatkan dunia berada dalam keadaan tidak teratur dan tidak menentu. Katanya, kerosakan dunia masa kini adalah bersifat akumulatif kerana sistem kepimpinan peradaban berpaksikan kepada kemanusiaan, sekular serta liberalisasi dalam semua bidang termasuk politik, ekonomi dan budaya.
“Oleh kerana itulah, dunia Islam dituntut untuk mengusulkan alternatif seperti yang dibincangkan oleh cendekiawan muslim dalam pelbagai forum yang mencadangkan agar kita tampil dengan peradaban alternatif
(alternative civilization),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Debat Perdana MADANI 2023 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila dijemput menjadi panel pendebat baru-baru ini.
Mengulas konsep masyarakat MADANI Malaysia, M. Din berkata, wawasan tersebut mampu menggantikan peradaban dunia masa kini namun perlu disusun secara teratur dan sistematik bagi menentukan nilai asas serta nilai instrumentalnya tersendiri.
Beliau juga ingin mencadangkan kepada calon Presiden Indonesia untuk mewujudkan konsep Indonesia MADANI bahkan mahukannya dituruti oleh semua negara Muslim di dunia. “Ini (konsep MADANI) pada hemat saya penting dan sesuai untuk semua negara muslim tidak hanya Malaysia. Saya (juga) ingin mengusulkan kepada calon Presiden Indonesia untuk punya wawasan Indonesia MADANI.
“Ada wawasan Indonesia MADANI, ada wawasan Malaysia MADANI, wawasan Turki MADANI, InsyaAllah dunia Islam akan menjadi dunia madani dan inilah sumbangan dunia islam bagi peradaban dunia baru,” katanya.
M. Din turut berkongsikan konsep MADANI sebenarnya sudah diperkenalkan oleh Anwar kepada Indonesia sejak tahun 1995 dalam pidatonya di sebuah festival dengan menggunakan istilah masyarakat MADANI.
Katanya, istilah itu sehingga hari ini menjadi rujukan ilmuan di Indonesia.
“Masyarakat MADANI sebagai pengganti daripada terjemahan civil society. Ada yang menggunakan istilah masyarakat warga, masyarakat kewargaan dan masyarakat sivil.
“Bagaimanapun, setelah diperkenalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kami sehingga kini menggunakan istilah masyarakat MADANI jauh sebelum adanya wawasan Malaysia MADANI,” katanya.
Menurut beliau, konsep masyarakat MADANI diperkenalkan Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya merupakan pengembangan terhadap konsep Islam yang diwujudkan Nabi Muhammad SAW di Madinah atau nama lamanya Yathrib.
Katanya, terdapat pengolahan dan penambahbaikan dalam konsep Malaysia MADANI iaitu perpaduan masyarakat dan negara. Beliau berkata, dalam ‘mazhab’ masyarakat MADANI Perdana Menteri, negara dan masyarakat
bersatu menjadi tiada perbezaan.
“Ini yang penting sekarang ini kerana umat Islam dalam mempersepsikan negara hanyalah alat untuk mewujudkan cita-cita bermasyarakat. “Keduanya, ada penggabungan antara bandar dan desa yang berintegrasi dalam kehidupan sama ada aspek sosial, ekonomi, politik dan lain-lain lagi,” katanya.
Program Debat Perdana MADANI menampilkan 10 orang ahli panel daripada pelbagai latar belakang dengan tiga slot utama iaitu Bicara Sejahtera Malaysia MADANI, pembentangan khas
oleh panel jemputan serta Forum Malaysia MADANI.
Bagi Bicara Sejahtera Malaysia MADANI, slot ini menampilkan bicara santai tentang senario Malaysia MADANI dari sudut sosial dan ekonomi yang menampilkan pakar ekonomi terkenal, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan
Ghazali dari UKM, pakar kajian tamadun, Prof. Dato’ Dr. Azizan Baharuddin dari Universiti Malaya (UM) dan pakar kajian sosial, Dr.Charanjit Kaur dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
Sesi pembentangan khas oleh panel jemputan pula menampilkan pakar kajian tamadun kelahiran Turkiye dari Qatar iaitu Prof. Dr. Recep Senturk yang membentangkan tajuk MADANI in The Context of Modernity dan Prof. Dr. M. Din Syamsuddin yang merupakan Guru Besar Politik Islam Global dari Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah Indonesia, yang membentangkan tajuk Memberi Makna Kepada Sebuah Negara MADANI.
Seorang lagi pembentang adalah Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang mengupas tajuk mengenai Peranan Cendekiawan Dalam Membangun Bangsa MADANI. Slot ini menampilkan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar sebagai moderator manakala pada sebelah petang pula, berlangsung Forum Malaysia MADANI dengan tajuk Merealisasikan Negara MADANI: Cabaran dalam Malaysia yang
Majmuk.
Forum ini menampilkan empat sarjana iaitu Dato’ Dr. Madeline Berma yang merupakan Felo,Akademi Sains Malaysia; Harris Zainul, Timbalan Pengarah Penyelidikan, Institut Strategik dan Pengajian Antarabnagsa (ISIS); Prof. Dr. Khairudin Aljunied dari Jabatan Sejarah UM dan Prof. Datuk’ Dr. Sivamurugam Pandian daripada Universiti Sains Malaysia (USM).
Hasil daripada pembentangan ini selanjutnya akan diangkat sebagai sumber dan panduan dalam memperkasa kefahaman masyarakat tentang Malaysia MADANI. Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri
Mohamed Khaled Nordin berkata,
Debat Perdana MADANI akan diadakan secara tahunan sebagai usaha memastikan gagasan Malaysia MADANI difahami dan berjaya dilaksanakan.
Katanya, KPT percaya konsep Malaysia MADANI merupakan satu pendekatan terbaik untuk negara keluar daripada segala masalah dan cabaran yang dihadapi bukan sahaja Malaysia bahkan oleh dunia.
“Seperti yang kita dapat dengar daripada pembentangan yang dibuat oleh ahli-ahli panel dan cendekiawan jemputan, kita percaya bahawa kita perlu pastikan negara berjaya, dapat hidup dalam keadaan yang aman sejahtera.
“Rakyat hormat menghormati antara satu sama lain dan kita percaya jika difahami dan diamal, Malaysia MADANI dapat memainkan peranan sangat besar.
“Dari sudut pandangan kementerian, kita mahu setiap ahli akademik, serta ilmuan yang ada dapat memahami dan bersamasama memainkan peranan untuk menjayakan Malaysia MADANI,” katanya. –UTUSAN