KUALA LUMPUR: Program Kibar Madinah hasil kerjasama Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) dengan Kolej Universiti Islam Selangor (KUISCELL) bakal memberi kelebihan kepada bakal jemaah untuk mempelajari Bahasa Arab.
Empat tarikh yang ditetapkan bagi program Kibar Madinah adalah 3 November hingga 3 Disember 2023; 6 Julai 2023 hingga 7 Ogos 2024; 1 Disember hingga 30 Disember 2024 dan 1 Februari hingga 1 Mac 2025.
Program tersebut juga menawarkan pakej serendah RM20,699 untuk tinggal di Tanah Suci selama sebulan.
Katanya, tawaran pakej ‘education cum umrah’ (edu-umrah) itu dilihat sebagai peluang terbaik buat mereka yang berhasrat menetap lama di Madinah.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, program Kibar Madinah akan membenarkan bakal jemaah mempelajari sendiri Bahasa Arab di Universiti Islam Madinah (UIM) selama 25 hari dan lima hari lain menyempurnakan ibadah umrah.
Kata beliau, program tersebut boleh disertai oleh jemaah berusia serendah 16 tahun dan tidak mempunyai had umur untuk menyertai pakej tersebut.
“Peserta akan dibawa ke tempat-tempat ziarah di Mekah dan Madinah, di samping aktiviti-aktiviti harian yang lebih mendedahkan mereka kepada penggunaan Bahasa Arab Ammiyah (pasar). Jadi mereka akan belajar bahasa rasmi dan pasar.
“Kita juga akan adakan program-program harian seperti program memasak di rumah penduduk tempatan bagi kita belajar kefasihan Bahasa Arab,” katanya semasa Majlis Pelancaran Pakej Kibar Madinah di Auditorium Andalusia, Desa Pandan, di sini.
Turut hadir sama adalah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Fuad Mat Ali dan Pencetus Ummah (PU) Hafiz atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Mohd Haneefa yang juga alumni daripada UIM.
Ida Riswana berkata, peluang untuk menyertai program Kibar Bendera seharusnya direbut oleh golongan muda yang ingin menguasai Bahasa Arab dan membina kerjaya di mana-mana negara Asia Barat.
“Kita semua mengetahui bahawa Arab Saudi sedang giat memacu ekonomi dan pembangunannya dengan sangat pesat menjelang Vision 2030,” katanya.
PU Hafiz berkata, program Kibar Madinah merupakan peluang yang baik untuk rakyat Malaysia mempelajari dan mendalami Bahasa Arab.
“Di UIM mempunyai pelajar yang datang daripada 100 lebih buah negara yang belajar di sana, jadi terlalu besar. Mereka juga telah mengajar ramai orang yang baru sahaja memeluk Islam seperti daripada Korea Selatan, Jepun dan sebagainya yang tidak kenal pun huruf dalam Bahasa Arab,” jelasnya. – UTUSAN