BESUT: Pemilihan Datuk Muhammad Pehimi Yusof sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera disifatkan ramai ‘bagai sirih pulang ke gagang’.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Terengganu itu bukanlah orang asing untuk penduduk di Kota Putera kerana pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan tersebut selama sepenggal dari 2008 hingga 2013.
Mesra disapa To’ Mie, beliau nekad mahu menyambung semua perancangan BN yang telah dirancang oleh bekas wakil rakyat terdahulu, Mohd. Mahdi Musa untuk Kota Putera jika menang Pilihan Raya Negeri ini.
“Antara keutamaan kita ialah melengkapkan pembangunan infrastruktur di Dataran Limbongan dan Kota Putera Square agar lebih menarik dan mampu menjadi pusat ekonomi.
“Isu berkaitan sistem meletak kenderaan yang tidak mesra pelanggan dan bantuan banjir juga akan diselesaikan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
DUN Kota Putera terkenal sebagai hab pendidikan berikutan wujudnya sekolah cemerlang dan institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, kecemerlangan Besut sebagai hab pendidikan akan diperkasa lagi dengan perancangan pembangunan di Taman Ilmu.
“Isu perumahan akan menjadi fokus utama dengan menyegerakan pembinaan projek perumahan baharu di Dendong, Tembila.
“Di perumahan Taman Ehsan, rumah yang disiapkan ialah 70 unit dan kita akan tambah kerana masih ada tanah kerajaan di situ,” katanya.
Kota Putera juga menjadi tumpuan pelancong berikutan lokasinya terletak di pesisir Laut China Selatan iaitu Pantai Bukit Keluang dan Pantai Air Tawar serta peminat sukan lasak ‘paragliding’ di Bukit Bubus.
To’ Mie yang juga penyandang DUN Jertih sejak dua penggal lalu berkata, beliau akan memanfaatkan semua pengalaman yang ada sebagai bekas Exco negeri untuk membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk Kota Putera. – UTUSAN