Kerjasama Angkasa, LGM hasilkan getah krip premium - Utusan Malaysia

Kerjasama Angkasa, LGM hasilkan getah krip premium

ABDUL Fattah Abdullah menyantuni ahli Koperasi Pekebun Kecil Daerah Ljpis Berhad selepas mesyuarat agung koperasi ke-36 di Lipis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sedia bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) berkaitan penghasilan getah krip premium yang mempunyai nilai lebih tinggi dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, LGM memperuntukkan sebanyak RM3.2 juta untuk mengenal pasti koperasi yang bernaung di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terbabit secara aktif dalam aktiviti penghasilan getah krip.

Katanya, bantuan diperuntukkan sekali gus membantu meningkatkan pendapatan pekebun dan peladang kecil khususnya dalam sektor koperasi.

Menurutnya, inisiatif yang dijalankan di bawah Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) kelolaan LGM bertujuan memperkenal hasil getah krip premium kepada pengusaha getah dan pekebun kecil getah bagi meningkatkan kualiti hasil getah.

“Getah krip ini mempunyai kandungan getah yang lebih tinggi justeru harganya lebih tinggi dari getah beku mangkuk,” katanya yang juga Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Daerah Lipis Berhad (Kendali) berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi di sini pada hari ini.

Tambah beliau, Angkasa akan turut bekerjasama dengan sejumlah 63 Koperasi Pekebun Kecil RISDA yang ada di seluruh negara bagi meningkatkan pengeluaran getah krip ini.

“Sehingga Disember 2022 Koperasi Pekebun Kecil RISDA mempunyai keanggotaan seramai 153,602 individu, dengan syer atau yuran sebanyak RM45.69 juta, aset sebanyak RM146.23 juta dan perolehan RM124.21 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya