PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan terus siap siaga untuk menambah baik hal ehwal Islam di Malaysia supaya inklusif, bukan sahaja memberi manfaat kepada umat Islam tetapi rahmat kebaikan tersebut akan turut dirasai oleh masyarakat bukan Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menjunjung kasih atas kesudian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam hari ini.
Kata beliau, mesyuarat MKI secara jelas menzahirkan keprihatinan baginda terhadap pengurusan hal ehwal Islam negara.
“Patik dan seluruh jentera Kerajaan Perpaduan khususnya agensi Islam menjunjung duli dan beriltizam untuk memastikan tadbir urus hal ehwal Islam dilaksanakan dengan sebaik-baiknya seperti mana yang dihasratkan oleh Majlis Raja-Raja.
“Patik meyakini dengan perkenan dan restu Duli-Duli Tuanku jua, usaha memperkukuh institusi pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, Anwar turut memberi sekalung penghargaan kepada ahli MKI dan wakil negeri-negeri yang hadir dan turut serta dalam mesyuarat tersebut. – UTUSAN










