Kerajaan bantu penginapan waris, urus jenazah

Kerajaan bantu penginapan waris, urus jenazah

ANWAR Ibrahim menenangkan waris mangsa nahas jet eksekutif di Perisaran Elmina, Shah Alam, ketika menziarahi ahli keluarga yang menunggu proses bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor, semalam. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pengurusan jenazah kesemua 10 mangsa nahas jet eksekutif dekat Persiaran Elmina, Shah Alam kelmarin akan dibantu oleh kerajaan termasuk penginapan dan urusan pengebumian.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau bertemu ahli keluarga mangsa nahas jet itu yang menunggu di luar pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang di sini dan mengucapkan takziah kepada mereka.

“Apa yang boleh dilakukan sekarang adalah mempercepatkan proses forensik dan pengecaman. Sebaik sahaja selesai, semua akan diuruskan oleh kerajaan sama ada daripada majlis agama, kerajaan negeri dan jabatan berkenaan, kita akan bantu untuk meringankan beban keluarga mangsa.

“Sekarang ini kita beri semua bantuan diperlukan untuk uruskan jenazah, semua kelengkapan, penginapan dan semua yang selain daripada itu kerajaan akan beri bantuan kepada keluarga untuk menampung terutama bagi keluarga yang tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Beliau yang tiba kira-kira pukul 12.50 tengah hari mengucapkan takziah kepada keluarga dan minta mereka bersabar dengan kejadian yang berlaku.

Dalam nahas 2.40 petang kelmarin, 10 orang maut apabila pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang terhempas di Persiaran Elmina tidak jauh dari lapangan terbang itu..

Turut terbunuh ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun serta seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di Persiaran Elmina berhampiran susur masuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).

Dalam pada itu, Anwar turut menghargai petugas agensi kerajaan dan petugas daripada badan-badan kebajikan bukan kerajaan yang membantu ahli keluarga mangsa serta melancarkan pengendalian nahas tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN