KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan akan menegur syarikat perkhidmatan tren premium Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) berhubung masalah yang sering berlaku melibatkan dua produk perkhidmatannya iaitu KLIA Eskpres dan KLIA Transit.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ERL supaya mengemukakan laporan berkenaan masalah-masalah berbangkit melibatkan perkhidmatan syarikat itu yang didakwa sering bermasalah.
Beliau juga maklum mengenai masalah melibatkan pengangkutan itu yang antaranya aduan daripada orang ramai yang menandakan (tag) namanya di media sosial.
“Saya telah meminta CEO ERL untuk memberi laporan kepada saya mengapa perkhidmatan ini sampai perlu digabungkan?
“Jadi, mereka akan memberi laporan kepada saya dan apabila saya menerima laporan tersebut, kami akan memberi teguran dan melihatnya bagi memastikan perkhidmatan ERL ini tidak terjejas.
“Saya sering mengesan dalam media sosial saya, selalunya ada ramai pihak dalam media sosial mereka tandakan nama saya tentang isu seperti ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau sebelum itu hadir melancarkan Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2023 (MASS 23) di ibu negara, hari ini.
Pada Ahad lalu, KLIA Ekspres memaklumkan wayar terputus menyebabkan hanya satu landasan sahaja beroperasi untuk melakukan kerja-kerja pembaikan. Keadaan itu menuntut kepada kedua-dua jenis perkhidmatan iaitu KLIA Ekspres dan KLIA Transit terpaksa digabung.
KLIA Ekspres memaklumkan perkara itu menerusi hantarannya di Facebook dan memberitahu perkhidmatan pada keesokannya berjalan seperti biasa.
Pada 11 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan, KLIA Ekspres dan KLIA Transit didakwa terus berdepan masalah teknikal sehingga menjejaskan pergerakan ramai penumpang yang menaiki perkhidmatan rel berkenaan ke destinasi masing-masing.
Akibat masalah teknikal, kedua-dua perkhidmatan itu terpaksa digabung sehingga menyebabkan perubahan jadual ketibaan dan berlepas, malah penumpang memberitahu tidak mengetahui masa yang tepat.
Utusan Malaysia turut melaporkan, pengguna-pengguna tren mengadu bahawa pendingin hawa KLIA Transit tidak berfungsi secara optimum, sering mengalami masalah teknikal menyebabkan suhu meningkat dan menimbulkan keadaan tidak selesa sepanjang 39 minit perjalanan.
KLIA Ekspres dan KLIA Transit dikendali Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) iaitu syarikat swasta terkemuka milik bersama YTL Corporation Berhad, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Trisilco Equity Sdn. Bhd. dengan masing-masing mempunyai nilai pegangan saham 50 peratus, 40 peratus dan 10 peratus.
Pada 25 Ogos 1997, kerajaan Malaysia telah menyerahkan konsesi 30 tahun kepada syarikat tersebut untuk membiayai, membina, mengendali dan mengawal selia sistem dan perkhidmatan rel penghubung Kuala Lumpur-KLIA. – UTUSAN