KDN warta perintah larangan penerbitan jam Swatch berkaitan LGBTQ+

KDN warta perintah larangan penerbitan jam Swatch berkaitan LGBTQ+

WARTA Kerajaan P.U.(A) 236 bertarikh 10 Ogos 2023 berkaitan perintah larangan penerbitan jam Swatch.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap sebarang penerbitan berkaitan lesbian, gay, biseksual, transgender, pelik (LGBTQ+) dalam apa-apa bentuk yang terdapat pada jam Swatch.

KDN dalam kenyataan memaklumkan, ini termasuk penerbitan dalam apa-apa koleksi termasuk kotak, pembalut, aksesori atau benda lain yang berkaitan melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 236 bertarikh hari ini.

Katanya, pewartaan Perintah Larangan ini selaras peruntukan di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan tersebut dilarang secara mutlak di Malaysia.

“Kerajaan Malaysia komited mencegah penyebaran unsur-unsur yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan kemoralan, kepentingan awam dan negara dalam kalangan masyarakat.

“Dalam hal ini, hasil penerbitan tersebut dikenakan tindakan Perintah Larangan kerana ia merupakan hasil penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan kemoralan, kepentingan awam, dan kepentingan negara dengan mempromosikan, menyokong, dan menormalisasikan gerakan LGBTQ+ yang tidak diterima masyarakat umum di Malaysia,” katanya hari ini.

KDN turut mengingatkan, berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

“KDN sekali lagi ingin menyatakan komitmen dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan bagi membanteras penyebaran elemen, fahaman, dan gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan dari semasa ke semasa.

“(Tindakan ini) secara berterusan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012,” katanya.

KDN sebelum ini menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri pada 13 dan 14 Mei lalu dan merampas koleksi bertemakan pelangi yang sering dikaitkan dengan komuniti LGBT.

Koleksi jam yang dirampas itu terdiri daripada pelbagai warna pelangi, simbol yang diterima pakai oleh komuniti LGBT. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya