KUCHING: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun ditemukan rentung selepas terperangkap dalam satu kejadian rumah terbakar di RPR Batu Kawa di sini petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran sekitar pukul 1 petang tadi.
“Komander operasi melaporkan, kebakaran melibatkan lima buah rumah, dua tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 30×20 untuk sebuah rumah.
“BBP Batu Lintang menggunakan satu aliran 200 kaki, 2 nozel manakala, BBP Padungan membuat fire break di rumah keempat dan kelima. Sumber air daripada pili bomba,” jelasnya.
Tambahnya, pihak bomba di lokasi turut dimaklumkan daripada orang awam bahawa terdapat seorang mangsa kanak-kanak yang masih terperangkap di dalam rumah kedua.
Pihak bomba seterusnya melakukan kerja-kerja overhaul untuk mengesan lokasi mangsa yang dikatakan terperangkap.
“Pada jam 3:33 petang tadi, anggota bomba di lokasi menemukan mangsa seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap di rumah kedua berada di bahagian bilik belakang tingkat atas.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak PDRM di lokasi untuk tindakan lanjut, mayat dikenal pasti sebagai Zayyan Nazeem Zainal Abidin, enam tahun dijumpai dalam keadaan rentung,” katanya.
Dalam keseluruhan insiden kebakaran tersebut rumah pertama dan kedua musnah 100 peratus, rumah ketiga 60 peratus, rumah keempat 50 peratus dan rumah kelima 20 peratus.
Mangsa yang rentung ditemukan di kediaman rumah kedua yang musnah sepenuhnya.
Setelah keadaan terkawal dan tiada lagi berlaku api yang merebak, pihak bomba melakukan kerja-kerja overhaul di rumah kedua dan ketiga.
Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-UTUSAN










