HULU TERENGGANU: Bagai tiada penghujung. Itu dilema berlanjutan dilalui penduduk di Kampung Basung dekat sini yang masih dibelenggu masalah ancaman gajah liar sejak sekian lama.
Masalah itu menyebabkan penduduk ibaratkan kampung mereka seolah-olah ‘taman gajah’ dan ketibaan musim durian ditunggu-tunggu pekebun untuk menjual hasil.
Ia juga mengundang episod duka setelah raja buah itu turut jadi sasaran.
Seorang penduduk, Mohd. Khairul Amiruddin Hamid, 31, berkata, sejak hampir sebulan lalu gajah-gajah liar tersebut menceroboh setiap malam ke kawasan pertanian sehingga ke rumah-rumah penduduk.
“Gajah liar bukan masalah baru di sini tetapi telah berlanjutan sejak sekian lama, kebelakangan ini semakin menjadi-jadi. Bukan sekadar tanaman dimusnahkan malah motosikal diparkir depan rumah juga ditolak sehingga terbalik.
“Mamalia ini dipercayai sekitar 14 ekor. Sebelum ini bergerak berkumpulan, namun kini mungkin telah berpecah berdasarkan kejadian berlaku pada waktu lebih kurang sama di beberapa lokasi.
“Kampung ini berdekatan kawasan hutan Tasik Kenyir. Mungkin habitat asal terganggu sehingga kumpulan gajah liar ini keluar cari makanan, sekarang pula musim durian,” katanya ketika ditemui di sini.
Katanya, ramai penduduk telah hilang minat berkebun kerana tidak sanggup lagi berputih mata menanggung kerugian demi kerugian.
Seorang lagi penduduk, Yong Ahmad, 50, berkata, dalam kejadian beberapa malam lepas dia terkejut apabila mendapati buah durian diletakkan depan rumah dimakan beberapa ekor gajah.
“Saya pulang ke rumah sekitar pukul 9 malam. Melihat kelibat sekumpulan dua hingga tiga ekor gajah di kawasan rumah terus bergegas masuk. Saya hanya mampu lihat beberapa batang pokok pisang dimusnahkan gajah.
“Selepas gajah tiada, saya keluar tinjau keadaan dan mendapati beberapa biji durian dikutip di kebun pada sebelah siang dimakan gajah. Tidak sempat saya menjualnya,” katanya.
Bagi Isa Ahmad, 65, pula, pemilik kebun durian kini tidak lagi berani menunggu buah luruh pada waktu malam kerana bimbang keselamatan dan majoriti hanya berbuat demikian pada siang hari.
“Dulu kami sampai tidur di kebun tunggu durian luruh, keadaan sekarang seolah-olah terpaksa berebut dengan gajah liar kalau berada di kebun. Mahu atau tidak hanya mampu kutip buah sebelah siang sahaja,” katanya. – UTUSAN