HAMPIR tujuh tahun berada dalam industri muzik, kumpulan Rock, Xpose Band sebenarnya tidak kisah sekiranya nama mereka belum cukup popular dalam kalangan pendengar.
Bagi kumpulan yang dianggotai tiga ahli ini, Ahmad Khairul Furhan Razali (vokalis), Mohd Rafiuddin Mohd Yunos (bass) dan Muhammad Mustaqim Mustapha Kamal (dram), tujuan mereka berkecimpung dalam gelanggang seni adalah menjual karya-karya bermutu.
Berpegang prinsip populariti pasti akan muncul, Furhan berkata, dia tidak kisah walaupun ia perlu mengambil masa bertahun-tahun.
“Kita jual karya bukan jual muka. Itu nombor dua. Tak kenal kami tidak mengapa.
“Kalau orang suka karya kami, mesti mereka akan cari di media sosial atau di mana-mana platform lain. Ada juga kumpulan yang sudah mempunyai tiga album baru nama naik dan dikenali,” katanya.
Berkongsi pengalaman, Furhan berkata, peminat pernah menyanyikan lagu kumpulan mereka sedangkan dia berada di sebelah ketika itu.
“Tak kecil hati (orang tak kenal), tetapi rasa segan pula. Rasanya lebih selesa orang tak kenal kami.
“Pernah juga masa tengah isi minyak, lagu kami dimainkan. Pergi pusat beli-belah pun pasang lagu kami,” katanya.
Untuk rekod, single pertama nyanyian Xpose berjudul Sandiwara pernah mencetuskan fenomena pada 2017, sehingga merekodkan 23 juta jumlah tontonan di YouTube sehingga sekarang.
Kumpulan yang memperjuangkan genre rock ini asalnya dianggotai lima ahli dan kini kembali bertiga.
Lebih menarik, ketiga-tiga mereka mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kejuruteraan dan Furhan kini bekerja sebagai jurutera.
Xpose yang bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Records juga sudah mempunyai 10 single seperti Seru, Deru, Maafkan Ku, Sebelum Nafas Terhenti, Jejak dan Menanti Pasti.
Disoal genre muzik yang diperjuangkan, Mohd Rafiuddin atau Eppy berkata, mereka tidak mahu terikat dengan satu genre kerana mahu membuktikan semua jenis rock boleh dibawa.
“Asasnya adalah rock tetapi semua cabang rock kami boleh seperti slow rock, modern rock, pop rock dan ballad rock.
“Lagu-lagu kami yang lain bukan tenggelam, cuma kita tak tahu apa selera pendengar ketika lagu itu dikeluarkan,” jelasnya yang turut berkebolehan menghasilkan lagu.
PENTAS AJL
Sudah menjadi impian buat mana-mana penyanyi untuk meloloskan diri ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL), tidak terkecuali buat Xpose.
Semasa Sandiwara menjadi hits di corong-corong radio, Eppy mengakui mereka agak terkilan kerana lagu tersebut gagal mara ke pusingan separuh akhir Muzik-Muzik.
“Sejak tujuh tahun lalu, memang setiap tahun kami impikan pentas akhir AJL. Tak menang pun tidak mengapa asalkan jadi finalis.
“Rasa kecewa juga Sandiwara tak lepas masa itu. Tapi tak mengapa mungkin tiada rezeki masa itu,” katanya.
Bagi Eppy, dia cukup berpuas hati kerana Xpose mempunyai identiti tersendiri tak tidak meniru mana-mana kumpulan.
Kongsinya, mereka mempunyai ‘senjata’ dan ‘kuku’ yang masih disorok serta hanya tunggu masa untuk dikeluarkan.
“Kita ada muzik dan cara sendiri. Sudah tentu konsep kita berlainan dengan kumpulan lain.
“Tak sama sebenarnya, mereka dengan cara mereka. Tidak akan sama daripada segi vokal, muzik, karakter. Furhan menyanyi pun tidak meniru sesiapa,” jelasnya.