JPN diarah patuh tempoh masa lapor kes buli, gangguan seksual

JPN diarah patuh tempoh masa lapor kes buli, gangguan seksual

KPM menyediakan tiga saluran yang boleh digunakan orang ramai termasuk pihak sekolah dan juga ibu bapa untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes buli, gangguan seksual.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan institusi pendidikan diarahkan untuk mematuhi tahap kesegeraan penyampaian maklumat, laporan serta tindakan berkaitan buli dan gangguan seksual kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Langkah itu antara tindakan proaktif dalam menangani kes berkenaan di semua institusi pendidikan bawah KPM bagi menjamin ekosistem selamat untuk guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan.

Menurut KPM, tempoh hari yang ditetapkan bagi pelaporan kes itu ialah pada kadar 1:3:7 hari.

“KPM menyediakan tiga saluran yang boleh digunakan orang ramai termasuk pihak sekolah dan juga ibu bapa untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes tersebut yang berlaku.

“Saluran tersebut ialah talian khas Aduan Buli, e-mel: [email protected] dan aduan buli di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). Maklumat aduan buli dan gangguan seksual boleh diakses melalui Portal Aduan Buli KPM di https://www.moe.gov.my/aduanbuli ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPM memaklumkan, berdasarkan rekod penyelesaian aduan buli dan gangguan seksual di institusi pendidikan bawah KPM menunjukkan lebih 90 peratus kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 15 hari.

Pada waktu ini, KPM juga sedang memuktamadkan garis panduan menangani buli dan gangguan seksual serta Peraturan Disiplin Murid yang baharu yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi menggantikan Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah 1959).

Pada masa sama, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan penguatkuasaan peraturan sedia ada seperti terdapat dalam surat siaran kementerian, surat pekeliling ikhtisas dan garis panduan berkaitan.

Antara mekanisme yang sedang dilaksanakan KPM ialah kempen kesedaran mengenai kesan buli dan gangguan seksual terhadap mangsa di media konvensional dan media sosial.

Selain itu ialah program pendidikan mengenai bahaya buli dan gangguan seksual juga dilaksanakan secara bersepadu melibatkan aspek kurikulum, kokurikulum serta pembinaan sahsiah dan amalan sekolah penyayang.

“Intervensi kepada mangsa buli dan kerjasama strategik dengan semua pihak terutamanya dengan melibatkan agensi penguat kuasa bagi memastikan isu buli dan gangguan seksual dapat ditangani dengan lebih efektif,” katanya.

KPM menyeru kerjasama dan komitmen berterusan semua pihak termasuk ibu bapa, pentadbir institusi pendidikan, guru, media, rakan korporat dan seluruh anggota masyarakat untuk sama-sama terlibat secara langsung atau tidak langsung memerangi isu buli dan gangguan seksual.

KPM sentiasa berusaha memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan seluruh warganya dipelihara, justeru, tiada kompromi kepada kegiatan jenayah itu di semua institusi pendidikan bawah KPM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya