KUALA LUMPUR: Semua pihak termasuk anggota polis yang terbabit insiden kekasaran membabitkan seorang penyokong parti di pekarangan sebuah balai di Kota Bharu malam tadi akan disiasat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, siasatan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, siasatan kes itu bukan sahaja akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam, malah, siasatan dalaman turut dijalankan oleh pihak JIPS.
“JIPS juga akan jalankan siasatan berhubung tingkah laku anggota kita, kalau ada kesilapan di situ. Anggota polis yang terbabit dalam kes itu sudah dikenal pasti, lagipun ada rakaman video (kejadian),” katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 15 saat memaparkan seorang lelaki yang menunggang motosikal dan memakai bendera sebuah parti dikasari beberapa individu dipercayai anggota polis.
Polis Kelantan memaklumkan sedang menjalankan siasatan insiden itu yang dilaporkan berlaku di pekarangan sebuah balai di Kota Bharu malam tadi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, dilaporkan berkata, kejadian itu dipercayai berpunca oleh provokasi yang dilakukan satu pergerakan konvoi secara bersendirian yang membawa bendera parti dan membuat bising.-UTUSAN