Jika 'putihkan' ahli UMNO, tinggal berapa kerat sahaja lagi?

Jika ‘putihkan’ ahli UMNO, tinggal berapa kerat sahaja lagi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO tidak perlu melakukan pemutihan terhadap ahlinya yang disyaki mengundi parti politik lain dalam pilihan raya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Isham Jalil berkata, tindakan ‘memutihkan’ mereka hanya membuatkan bilangan akar umbi UMNO semakin sedikit, malah menjadikan mereka lebih marah, benci kepada parti dan menjadi penyokong tegar parti politik lain.

Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil berkata, ini sekali gus menjadi keadaan paling dikehendaki oleh parti-parti yang bertentangan fahaman dengan UMNO.

“Sebaliknya, kita perlu meyakinkan mereka semula berkenaan hala tuju dan perjuangan kita. Saya lihat mereka mahu lihat perubahan yang drastik bukan hanya retorik. Jika kita kekal dalam sindrom penafian, kita tidak akan berubah.

“Jika kita tidak berubah di saat getir ini, kita akan tamat sebab tidak sedar diri walaupun sudah rebah. Jika kita tidak berubah, lawan kita akan bertepuk tangan sehingga ke Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), ini yang mereka mahu, iaitu UMNO hancur di tangan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Isham berkata, UMNO perlu mengakui punca penyokong-penyokong tegar parti UMNO kini membantah dan menyokong parti berlawanan dan masalah itu perlu ditangani segera.

“Jika dahulu penyokong-penyokong tegar kita menjadi perayu undi kepada penyokong atas pagar, saya lihat kini perayu-perayu undi kita pun sudah hilang kepercayaan dan perlu diyakinkan.

“Kita perlu yakinkan mereka dengan kebenaran dan keikhlasan, bukannya retorik dan spin politik. Penyokong tegar kita sudah lama dalam politik, mereka tahu menilai,” katanya.

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berakhir kelmarin.

BN bagaimanapun hanya berjaya menang di 19 kerusi berbanding 108 kerusi ditandingi, yang mendorong kekecewaan banyak pihak sehingga mendesak Pengerusi BN juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berundur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN