Ibu tunggal, rakan wanita mengaku tak bersalah aniaya, abai anak

Ibu tunggal, rakan wanita mengaku tak bersalah aniaya, abai anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal dan rakan serumahnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam atas dua tuduhan menganiaya dan mengabai anak kandungnya sejak bulan lalu.

Tertuduh dan rakannya, Awiin Chua, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Kedua-duanya didakwa dengan niat menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang berada dalam pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat mengabaikan kanak-kanak yang juga anak kandung ibu tunggal itu ketika mangsa berada dalam pemeliharaan mereka.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Pasir Gudang antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peguam bela kedua-dua tertuduh, Abd. Rahim Ali meminta mahkamah memberikan jaminan rendah kepada anak guamnya kerana mereka masih belum didapati bersalah.

“Tiada risiko tertuduh pertama akan mengganggu mangsa kerana hak penjagaan ditentukan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat). Dia juga tidak mempunyai risiko melarikan diri kerana tidak lagi bekerja sejak dua bulan lalu, malah tidak mempunyai pasport dan mempunyai seorang lagi anak yang berusia sembilan tahun.

“Bagi tertuduh kedua pula, dia masih bekerja di Singapura, namun menetap di Pasir Gudang dan mempunyai pasport serta permit yang sah untuk berada di dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir memohon mahkamah memberi jamin sebanyak RM30,000 kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan termasuk dilarang menghampiri atau berhubung dengan mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada Nurul Asyiqin, manakala Awiin diberikan jaminan sebanyak RM20,000.

Fatimah turut mengarahkan kedua-dua tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan menetapkan 27 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa daripada Hospital Sultan Ismail (HSI). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN