Hayazi cadang tubuh Pusat Sehenti Belia dan Sukan di Ayer Hitam jika menang - Utusan Malaysia

Hayazi cadang tubuh Pusat Sehenti Belia dan Sukan di Ayer Hitam jika menang

HAYAZI Azizan (kiri) turun padang bagi melawat Ketua UMNO Cawangan Putat, Ahmad Bidi (kanan) di Kampung Putat, Jerlun, Kedah, semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, Hayazi Azizan, 44, berhasrat menubuhkan Pusat Sehenti Belia dan Sukan di kawasan berkenaan sekiranya menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pusat berkenaan dapat dimanfaatkan khususnya oleh golongan belia dengan sebaiknya bagi melakukan pelbagai aktiviti riadah termasuk sukan.

Menurut Hayazi, kawasan itu memerlukan sebuah pusat sehenti buat golongan belia bagi membolehkan mereka mengisi masa dengan sebaiknya dan menghindari gejala tidak sihat.

“Kita memang perlukan pusat sehenti itu kerana di kawasan ini tiada kemudahan berkenaan untuk dimanfaatkan oleh golongan belia.

“Dengan itu, golongan belia mempunyai tempat untuk beriadah seperti bermain bola sepak, bola jaring, permainan dalam talian termasuk dengan menyediakan kemudahan WiFi dan kafe mini,” katanya selepas turun padang melawat Ketua UMNO Cawangan Putat, Ahmad Bidi di Kampung Putat, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Hayazi berkata, nasib golongan anak muda khususnya di kawasan luar bandar perlu diberi perhatian khususnya dengan membuka lebih banyak peluang buat mereka untuk memiliki kehidupan lebih selesa.

Katanya, beberapa program berbentuk jati diri dan latihan kemahiran dapat dilaksanakan dalam membantu golongan belia di kawasan itu antaranya bagi mencari peluang pekerjaan, memiliki rumah dan sebagainya.

“Jika sebelum ini mungkin banyak pihak hanya memfokuskan tentang masalah infrasturktur dan pelbagai lagi namun aspek golongan belia ini khususnya di luar bandar juga perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Hayazi berkata, jentera dan tenaga penggerak parti itu sentiasa bersemangat dalam memastikan kelancaran kempen berlangsung bagi membantu pihaknya mendekati seramai mungkin pengundi di DUN itu pada PRN ini.

Tambahnya, sepanjang kempen PRN berjalan, beliau turut mendapat maklum balas yang baik dari pengundi pelbagai lapisan umur.

“Anak muda khususnya menunjukkan momentum sokongan begitu baik dan kita mengharapkan sokongan berterusan menjelang hari pengundian nanti,” katanya.

Pada PRN ini, Hayazi bakal bertembung dengan penyandang kerusi DUN Ayer Hitam, Azhar Ibrahim dari Perikatan Nasional (PN).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya