PETALING JAYA: Para pengundi di enam buah negeri yang terlibat dengan pilihan raya esok berharap parti yang menang akan mengotakan janji-janji mereka, mengatasi kos sara hidup yang tinggi dan mewujudkan lebih banyak peluang kerja.
Harapan itu juga antara yang menjadi panduan mereka dalam memilih parti dalam pilihan raya tersebut.
DI SUNGAI PETANI: Azman Abdullah, 62, berkata, dia mahu memilih pemimpin yang mempunyai visi dan misi jelas untuk mentadbir negara.
“Bagi saya pemimpin yang baik adalah pemimpin yang lebih banyak buat kerja untuk memajukan ekonomi negeri dan negara daripada bercakap atau memaki-hamun parti lawan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang lagi pengundi, Ang Teau Hock, 63, berkata, kerajaan dan pemimpin yang boleh berlaku adil kepada rakyat tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan perbezaan politik akan menjadi pilihannya.
“Saya tidak akan memilih pemimpin yang mengamalkan budaya ‘membuli’ parti lawan dengan kuasa yang mereka ada kerana jika itu berlaku bermakna tidak mustahil mereka juga akan membuli rakyat,” ujarnya.
DI BUTTERWORTH: Seorang pekerja kedai makanan, Ruhamah Ismail, 55, berkata, dia berharap lebih banyak kemudahan asas disediakan kerajaan negeri yang baharu khususnya di kawasan luar bandar.
Dia yang tinggal di Telok Ayer Tawar berkata, kawasan itu masih memerlukan banyak kemudahan asas seperti bank dan pejabat pos bagi memudahkan urusan seharian.
Peniaga ikan, Lee Beng Lee, 66, berkata, dia berharap kerajaan negeri baharu nanti dapat meningkatkan bantuan kepada rakyat untuk mendepani kos sara hidup.
Dalam masa sama, dia berharap isu seperti peningkatan harga barang dan keperluan asas yang mahal boleh diatasi sekali gus mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung rakyat dalam meneruskan kehidupan seharian.
DI KUALA SELANGOR: Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Selangor, Omar Abdul Rahman berharap isu dihadapi lebih 5,000 nelayan meliputi penwartaan jeti, kenaikan kos peralatan akuakultur dan keadaan muara sungai yang cetek dapat diselesaikan oleh kerajaan yang terpilih nanti.
“Masalah 1,350 jeti yang tidak diwartakan dan peningkatan harga peralatan amat membebankan nelayan,” katanya ketika ditemui.
Bagi petani, Sulaiman Abu Bakar, 64, golongan itu memerlukan bantuan baja dan racun serangga yang kini harga terlalu mahal.
Pengundi muda, Muhammad Zulmajdi Iskandar, 21, pula berkata, kerajaan negeri yang bakal dibentuk selepas PRN perlu memberi perhatian kepada suara anak muda terutama soal peluang pekerjaan dan kemudahan kepada golongan berkenaan.
Bagi peniaga makanan, A. Salim Hamzah, 58, kenaikan harga kos bahan mentah menyebabkan perniagaan ada turun naiknya sejak kebelakangan ini.
“Golongan peniaga bukan sesuka hati menaikkan harga jualan malah kedai saya kadang kala hanya didatangi beberapa pelanggan sehari,” ujarnya.
DI SEREMBAN: Seorang penjawat awam, Nor Marlina Najib, 42, berkata, harga rumah yang kebanyakan telah dibina dilihat mahal sehinggakan masih ramai tidak mempunyai rumah mereka sendiri.
“Saya harapkan kerajaan negeri yang dibentuk nanti dapat memastikan kawasan perumahan dan kediaman yang dibina mampu dibeli oleh rakyat,” katanya.
Seorang pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai, Suhaida Latif, 50, memberitahu, kawasan tersebut sudah banyak membangun dengan sektor perindustrian namun peluang pekerjaan masih kurang buat masyarakat tempatan.
“Saya harap ada dasar yang dapat dilaksanakan bagi memastikan pihak industri lebih mengutamakan pekerja tempatan berbanding pekerja asing yang semakin ramai di sini,” katanya.
Sementara itu, seorang pengundi muda dari Port Dickson, Ammar Aiman Osmera, 21, meminta mana-mana parti yang diberikan amanah supaya menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.
Seorang peniaga kedai runcit, Rozy Nordin, 39, pula berharap kerajaan yang dipilih nanti mengutamakan isu pembangunan negeri dan merancakkan ekonomi.
“Apabila ekonomi rancak, peluang pekerjaan bertambah, penduduk mampu berbelanja sekali gus merangsang banyak sektor lain termasuk kepada peniaga kecil yang lain,” katanya.
DI KUALA TERENGGANU: Pengundi muda, Mohamad Afiq Irfan Alimi, 18, berkata, dia akan mengundi buat kali pertama esok dan telah mempunyai pilihannya sendiri,
“Memang ada dengar pendapat ibu bapa dan adik beradik, namun saya telah ada calon pilihan hati kerana dapat lihat personalitinya yang menarik di media sosial,” ujarnya.
DI PASIR MAS: Seorang peniaga, Zahari Mat Ariffin, 53, berharap perubahan dapat dibawa ke kawasan tersebut dan menghidupkan semula Plaza Serangkai Mas yang semakin terbiar tanpa penyewa.
“Saya khuatir jika tiada perubahan dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih nanti berkemungkinan besar kegiatan ekonomi di kawasan ini akan lumpuh dan seterusnya berkubur,” katanya. – UTUSAN










