Hanya satu ujian teori bagi lesen motosikal, kereta

Hanya satu ujian teori bagi lesen motosikal, kereta

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Individu yang ingin mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kereta atau motosikal kini hanya perlu menduduki satu ujian teori, berkuat kuasa 15 September ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebelum ini pemohon dikehendaki menduduki dua ujian teori berasingan bagi mendapatkan lesen kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, selepas ini, pemohon menduduki sekali sahaja bagi Kursus Teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) dan Ujian Teori KPP01.

“Sebagai contoh, seseorang yang sudah lulus ujian KPP01(Teori) dalam lesen memandu motosikal tidak perlu menduduki KPP01 untuk kali kedua apabila mengambil lesen memandu kereta.

“Namun, calon masih wajib menjalani latihan dan menduduki ujian KPP02 (Praktikal di Litar) dan KPP03 (Praktikal di jalan raya) secara berasingan apabila mengambil LMM motosikal dan LMM kereta.

“Individu tersebut hanya perlu memperbaharui semula Lesen Belajar Memandu (LDL) dan seterusnya mendaftar di Institut Memandu untuk melengkapi latihan dan ujian di peringkat KPP02 dan KPP03 dalam kelas kenderaan berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, syarat kelayakan umur bagi motosikal adalah kekal pada 16 tahun dan ke atas, manakala bagi kereta adalah 17 tahun selain perlu bebas daripada sebarang tindakan senarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Loke berkata, inisiatif ini akan memanfaatkan rakyat Malaysia bagi mendapatkan LMM kelas motosikal atau kereta tanpa menjejaskan tahap kompeten pemandu.

Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan selepas mengambil kira maklum balas awam selain menjimatkan masa dan kos bagi mendapatkan LMM yang sah.

“Orang ramai mahu kursus dan ujian itu digabung kerana ia peraturan yang sama bagi motosikal dan kereta.

“Saya dimaklumkan, setiap pemohon dapat jimat sebanyak RM100 sebaik sahaja inisiatif ini dilaksanakan kelak,” katanya.

Katanya, kajian penggabungan silibus bagi kursus dan ujian teori itu akan dilakukan dalam tempoh sebelum ia dimuktamadkan pada 15 September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya