'Generasi muda seolah-olah lupa jasa kami lawan komunis'

‘Generasi muda seolah-olah lupa jasa kami lawan komunis’

MOHAMAD Zin Yaacob menunjukkan gambar kenangan semasa bertugas sebagai anggota tentera ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tempoyak, Bedong, Sungai Petani. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sambutan Hari Kebangsaan pada tanggal 31 Ogos setiap tahun dirai penuh meriah oleh segenap lapisan masyarakat dengan pelbagai cara.

Namun, bagi bekas anggota keselamatan pula tarikh keramat itu sebaliknya disambut penuh keinsafan dan perasaan terharu kerana telah berkorban tenaga dan nyawa demi mempertahankan negara tercinta.

Seorang bekas tentera, Mohamad Zin Yaacob, 69, berkata, masih terdapat generasi muda gagal menghayati makna sebenar erti mempertahankan negara sebaliknya lebih kepada memeriahkan acara untuk sambutan hari kemerdekaan sahaja.

“Zaman dahulu kami angkat senjata untuk jaga negara daripada ancaman komunis dan sanggup berkorban atas rasa tanggungjawab menjadikan negara ini aman.

“Tapi generasi muda kini seolah-olah lupa pengorbanan yang kami curahkan walaupun ada antara kami yang cedera dan terbunuh ketika menyertai operasi,” katanya ketika ditemui di Kampung Tempoyak, Bedong di sini semalam.

Kata bapa kepada tiga cahaya mata yang kali terakhir berpangkat sarjan itu, dia menyertai pelbagai operasi ketika mula bertugas pada 1972 dan kenangan yang tidak boleh dilupakan adalah semasa menyertai Op Sungai Pongek di Kuching, Sarawak.

“Kami 11 anggota unit khas peninjau, Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD) di Kem Semenggo telah bertempur dengan sekumpulan komunis dan berjaya menembak mati dua pengganas wanita dan seorang lelaki.

“Selepas serangan saya dan empat anggota ditugaskan menjaga mayat terbabit dalam keadaan letih dan tidak sempat jamah makanan sebelum dibawa keluar oleh helikopter pada petang keesokan harinya,” katanya.

Ujar Mohamad Zin, ketika itu apa yang ada dalam diri mereka adalah semangat untuk mempertahankan tanah air dan tidak langsung mempedulikan perit jerih berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

“Tugas yang kami laksanakan bukan mudah tetapi pengorbanan ini dilakukan atas dasar cintakan negara kerana ingin menjadikan tanah air dapat didiami oleh generasi kemudian dalam keadaan aman,” katanya.

Justeru, dia mengakui risau dengan senario anak muda sekarang kerana kurang mempunyai semangat patriotik dan hanya menyambut hari kemerdekaan kerana teruja untuk memeriahkan acara semata-mata.

“Pelajari sejarah negara dan penuhilah acara sambutan kemerdekaan dengan aktiviti berfaedah. Jika ini dapat dilakukan kami yang pernah menabur bakti pasti akan gembira kerana tahu generasi kini mampu menyambung legasi yang ditinggalkan demi mempertahankan negara tercinta ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN