KUALA LUMPUR: Isu Covid-19 masih menjadi kebimbangan masyarakat walaupun Malaysia sudah pun mencapai tahap kemajuan kesihatan yang ketara.
Sehubungan itu, forum Know. Plan. Go. membantu masyarakat untuk menilai risiko jangkitan Covid-19 iaitu langkah awal yang perlu diambil bagi mengurangkan impak kesihatan terhadap seseorang individu.
Ketua Setiausaha Persatuan Diabetes Malaysia, Dr. Mohazmi Mohamed berkata, langkah penjagaan dan rawatan awal perlu dilakukan sekiranya pesakit sudah didiagnos dengan Covid-19.
Kata beliau, rawatan tersebut akan membantu dalam mencegah Covid-19 daripada terus melarat, disamping itu, memastikan individu yang dijangkit dapat pulih dengan kadar segera.
“Rawatan awal amat membantu dalam mengurangkan beban virus Covid-19 yang ada di dalam tubuh, ia mempercepatkan pemulihan dan membantu menghindari komplikasi yang serius.
“Bagi kumpulan berisiko tinggi seperti pesakit kanser, rawatan segera dapat mencegah perkembangan penyakit ke tahap yang lebih kritikal dan mungkin memerlukan perawatan intensif di hospital,” katanya di forum Know, Plan, Go yang diadakan di The Grounds, Mahsa Avenue, di sini.
Mereka yang berisiko tinggi atau berumur 60 tahun ke atas dan mempunyai kondisi kesihatan yang mampu menjejaskan sistem imun diri akan meningkatkan kerentanan mereka terhadap Covid-19 yang teruk.
Oleh itu rawatan awal perlu dilakukan segera bagi mengurangkan penyakit teruk termasuk kemasukan ke dalam hospital mahupun membawa kepada kematian.
Selain daripada warga emas, kanak-kanak, pesakit kronik dan imuniti rendah seperti kanser serta HIV.
Malah, penghidap penyakit autoimun dan juga wanita mengandung juga mempunyai risiko yang tinggi berhadapan komplikasi sekiranya dijangkiti Covid-19.
Dr. Mohazmi berkata, pesakit kanser dianggap sebagai antara kumpulan yang berisiko tinggi sekiranya dijangkiti Covid-19 adalah kerana mempunyai sistem imun yang lemah.
“Mereka mempunyai sistem imun yang lebih lemah adalah disebabkan penyakit kanser itu sendiri atau rawatan mereka jalani seperti kemoterapi.
“Oleh itu, mereka lebih mudah menerima jangkitan dan komplikasi yang serius daripada Covid-19. Itulah sebabnya mengapa sangat penting untuk mendapatkan vaksinasi dan rawatan segera jika didiagnosis positif Covid-19,” jelasnya.
Mengulas mengenai komorbiditi, Dr. Mohazmi berkata, penyakit komorbid adalah salah satu istilah yang sering dikaitkan dengan penyakit Covid-19.
“Mereka yang mempunyai penyakit komorbid adalah lebih berisiko menderita gejala parah apabila dijangkiti Covid-19.
“Komorbid ditakrifkan sebagai orang yang mempunyai dua atau lebih penyakit dan keadaan perubatan tidak berkaitan secara serentak.
“Sebagai contoh, pesakit diabetes boleh menghidap tekanan darah tinggi atau pesakit kanser yang menghidap penyakit asma pada masa sama.
“Jadi,saya ingin tekankan bahawa mereka yang ada komorbid adalah berisiko tinggi untuk mengalami kesan teruk daripada Covid-19 sekiranya dijangkiti,” katanya.
Oleh kerana itu, Dr. Mohazmi menyarankan masyarakat membeli dan menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 yang terdapat di pasaran untuk mendiagnosis diri.
“Langkah berkenaan amat penting terutamanya bagi golongan rentan termasuk warga emas dan ahli keluarga yang mempunyai masalah komorbiditi dalam usaha mengelakkan jangkitan tidak disedari sehingga terlewat merawatnya.
“Individu yang perlu menjalani ujian saringan adalah individu yang mempunyai gejala dan mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19,” ujarnya.
Hadir sama dalam forum yang membincangkan tentang pentingnya untuk masyarakat mendapatkan rawatan segera selepas diagnosis Covid-19 adalah penyampai radio, Aishah Sinclair dan ibunya, Khadijah Abdul Rahman.-UTUSAN