Formula lantikan Exco 4-4-2? - Utusan Malaysia

Formula lantikan Exco 4-4-2?

AMINUDDIN Harun meletakkan ibu jari ke mesin perakam waktu di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan di Wisma Negeri, Seremban bagi memulakan tugasnya hari ini selepas dilantik ke jawatan tersebut. -UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS

SELEPAS lebih se­minggu selesainya majlis ang­kat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan, sehingga kini senarai barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) masih belum diketahui.

Mungkin sedikit sukar kali ini buat Datuk Seri Aminuddin Harun melengkap­kan pentadbirannya apatah lagi barisan Exco yang akan dilantik nanti buat pertama kalinya menggabungkan wakil dalam parti Kerajaan Perpaduan.

Jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang hampir seimbang dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) me­nyaksikan pembahagian kuota bagi 10 jawatan Exco perlulah diteliti sebaiknya.

Selepas berakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, daripada kese­luruhan 36 kerusi DUN, PH menang 17 kerusi manakala BN pula 14 kerusi sekali gus gabungan kedua-duanya menjadikan 31 kerusi yang membentuk Kerajaan Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga.

Mengikut sistem satu parti, daripada jumlah 31 kerusi DUN tersebut, Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) BN iaitu daripada UMNO memiliki jumlah kerusi terbesar iaitu seba­nyak 14 diikuti DAP yang menang di 11 kerusi.

Bakinya pula lima kerusi dimenangi oleh PKR termasuk Aminuddin di DUN Sikamat manakala Parti Amanah Negara (Amanah) hanya mempunyai seorang ADUN.

Berdasarkan penggal yang lepas di mana PH membentuk Kerajaan Negeri Sembilan dengan 20 kerusi, DAP memperoleh lima wakil sebagai Exco dan PKR pula seramai tiga orang diikuti Amanah memiliki dua orang wakil.

Pembahagian kuota itu pasti berubah kali ini, dan ada yang menjangkakan pembahagiannya akan menggunakan formula 4-3-2-1 dengan BN-UMNO mendapat empat wakil, diikuti seramai tiga wakil DAP.

PKR pula memperoleh kuota sebanyak dua orang manakala Amanah mempunyai satu jawatan Exco menerusi wakil rakyat tunggalnya, Datuk Bakri Sawir di DUN Klawang.

Namun jika menggunakan formula tersebut, DAP yang kekal dengan prestasi cemerlangnya menang di kesemua kerusi ditandingi, tidak wajar untuk dikorbankan dengan me­ngurangkan sehingga dua ahli Exco berbanding penggal lepas.

Oleh itu terdapat kemungkinan untuk Amanah diketepikan kali ini dan menyaksikan formula berubah menjadi kepada 4-4-2 iaitu empat buat BN/UMNO dan DAP manakala dua lagi untuk PKR. Formula ini juga nampak lebih seimbang.

Mungkin ada tuntutan dan desakan tertentu dan ini akan sedikit memeningkan Aminuddin namun dijangkakan juga untuk beliau memilih calon terbaik mengisi jawatan Exco tersebut dalam kalangan ADUN kerajaan yang ada, tidaklah sesukar mana.

Beberapa ADUN DAP yang mengisi jawatan Exco sebelum ini dijangka dikekalkan iaitu Teo Kok Seong (Bahau); Nicole Tan Lee Koon (Bukit Kepayang) dan Choo Ken Hwa (Lukut).

Muka-muka baharu untuk Exco pastinya datang daripada PKR yang dijangka menampilkan Dr. G. Rajasekaran (Sri Tanjung) dan Ketua Wa­nita PKR Negeri Sembilan iaitu Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim (Pilah).

Pilihan daripada BN juga lebih ramai, selain Datuk Seri Jalaluddin Alias yang merupakan Ahli Parlimen Jelebu, beberapa nama wajar diberikan peluang khususnya mereka yang turut memegang jawatan Ketua UMNO di bahagian masing-ma­sing.

Mereka termasuklah Datuk Ismail Lasim (Senaling), Mustapha Nagoor (Palong) dan Datuk Mohd. Faizal Ramli (Linggi).

Beberapa ADUN ‘muda’ BN yang kali pertama bergelar wakil rakyat mungkin juga boleh diberikan peluang untuk membarisi barisan Exco berdasarkan pengalaman dan latar belakang yang ada pada mereka.

ADUN tersebut termasuklah Mohd. Asna Amin (Lenggeng), Suhaimi Aini (Kota) dan bekas Ketua Pemuda UMNO ne­geri, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya