Feri Pulau Pinang mungkin ada laluan baharu hubungkan tanah besar, pulau - Utusan Malaysia

Feri Pulau Pinang mungkin ada laluan baharu hubungkan tanah besar, pulau

AHMAD FUZI Abdul Razak (tengah) bersama Anthony Loke (kiri) dan Chow Kon Yeow (dua dari kiri) pada majlis pelancaran perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang di PRTU, George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

GEORGE TOWN: Perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang mungkin mempunyai laluan baharu yang menghubungkan bahagian pulau dan Seberang Prai bagi meningkatkan ketercapaian jaringan sistem pengangkutan awam di negeri itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pada masa ini perkhidmatan feri baharu itu beroperasi dari dua buah terminal secara ulang-alik iaitu Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), di Butterworth dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU), di sini.

”Kita sedang melihat sama ada boleh diteroka laluan perkhidmatan feri dari Butterworth ke laluan yang lain, sekarang ini dari Butterworth ke PRTU, ia hanya satu laluan sahaja.

”Apa yang kita fahami ialah ramai yang bekerja umpamanya di Bayan Lepas, boleh atau tidak kita perkenalkan laluan dari Butterworth ke Bayan Lepas atau jeti-jeti yang berdekatan, itu yang sedang kita perhatikan sama ada sesuai atau tidak dari segi lokasi,” katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU), di sini hari ini.

Terdahulu, Anthony menghadiri majlis pelancaran perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang turut dihadiri, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

AHMAD FUZI Abdul Razak bersama Anthony Loke dan Chow Kon Yeow pada majlis pelancaran perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang di PRTU, George Town, Pulau Pinang hari ini. – Pic: IQBAL HAMDAN

Pada 7 Ogos lalu, perkhidmatan feri Pulau Pinang yang baharu memulakan operasi secara rasmi bagi menggantikan feri ikonik Pulau Pinang.

Menurut Anthony, bagi merealisasikan perkara itu, Kementerian Pengankutan perlu saling bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk meneroka laluan-laluan baharu yang mempunyai jeti sesuai bagi melabuhkan feri dan penumpang.

“Jeti-jeti lain yang ada ialah jeti milik pihak swasta, jadi kena ada kerjasama dengan pemilik jeti swasta tersebut, seperti di kawasan Straits Quay ada jeti juga, di sebelah Bayan Baru pun ada.

”Kita perlu lihat perkara ini, kalau ada permintaan boleh kita perkenalkan kepada operator untuk melihat kepada laluan baharu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Kementerian Pengangkutan juga membenarkan feri Pulau Pinang yang baharu digunakan sebagai produk pelancongan untuk mempromosi sektor itu di negeri tersebut.

Anthony berkata, syarikat operator feri diberi kebenaran memasarkan feri baharu Pulau Pinang untuk disewa oleh syarikat-syarikat korporat, individu persendiran atau mana-mana agensi pelancongan yang mahu menganjurkan majlis persendirian di atas feri tersebut.

”Feri bukan sahaja untuk pengangkutan, ia boleh dijadikan produk pelancongan kerana tidak banyak bandar di Malaysia yang ada perkhidmatan feri.

”Perkara itu dibenarkan dengan syarat aspek keselamatan menjadi keutamaan operator pengendali perkhidmatan feri,” katanya.

Tambahnya, pada masa ini kapasiti feri untuk mengangkut penumpang adalah mencukupi dan salah satu feri sedia ada bersedia untuk dijadikan feri sewa khas bagi tujuan pelancongan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya