Elak minum Milo, Ayda Jebat khuatir muntah-muntah - Utusan Malaysia

Elak minum Milo, Ayda Jebat khuatir muntah-muntah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat terpaksa mengelak pengambilan Milo sepanjang tempoh kehamilan keduanya yang kini memasuki lima bulan.

Kata Ayda, tindakan tersebut bagi mengelakkan dia mengalami mual dan muntah-muntah gara-gara minuman berkenaan.

“Saya memang suka minum Milo. Tetapi entah kenapa, ketika hamil anak kedua ini, saya akan muntah selepas meminumnya.

“Selepas kehamilan masuk bulan ketiga, saya cuba minum (Milo), namun keadaan sama berlaku. Yang menghairankan, ia tidak berlaku terhadap minuman berperisa coklat yang lain.

“Jadi buat masa ini, saya terpaksa mengelakkan minum minuman jenis itu agar saya tidak muntah atau mual,” katanya ketika ditemui pemberita sempena pelancaran drama terbarunya, Bukan Cinta Sempurna, baru-baru ini.

Ayda bagaimanapun memaklumkan tidak mengalami alahan yang teruk seperti yang dihadapinya ketika hamil anak pertama.

Namun, penyanyi tersebut tetap peka menjaga kesihatan untuk memastikan proses kehamilan keduanya berjalan baik.

“Saya amalkan suplemen yang disarankan doktor selain memastikan pengambilan air yang mencukupi disebabkan keadaan cuaca panas.

“Ia membantu lebih-lebih lagi ketika menjalani penggambaran dalam keadaan cuaca yang agak mencabar selain sering bertukar-tukar lokasi (penggambaran).

“Saya sangat berterima kasih kepada suami, Nabil Mahir dan seluruh pasukan produksi drama Bukan Cinta Sempurna yang banyak memudahkan saya ketika penggambaran,” jelasnya.

Dalam masa yang sama Ayda juga memaklumkan merancang untuk mendedahkan jantina cahaya mata keduanya September depan.

“Buat masa sekarang, saya dan suami memutuskan untuk tidak menyemak jantina bayi kerana kami mahukan kejutan.

“Insya-Allah kami akan kongsikan pada 23 September nanti,” ujar Ayda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN