Dwistandard, Tun M selar kerajaan Anwar Ibrahim

Dwistandard, Tun M selar kerajaan Anwar Ibrahim

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyelar pentadbiran kerajaan sekarang dengan menyifatkan mereka sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan dwistandard.

Dr. Mahathir merujuk dirinya sebagai antara bukti selain mengakui beliau seakan diugut ketika keterangan diambil oleh pihak polis berhubung hantarannya di Facebook 27 Julai lalu.

“Saya hairan, ada ‘double standard’, bila saya baca dalam surat khabar yang Zeti (Bekas gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz) buat laporan pada Peguam Negara berkenaan kesalahan tiga pegawai 1MDB, tak ada polis siasat, tiada apa pun.

“Bagi saya ambil keterangan ini ugutan yang menghalang saya bercakap berkenaan masalah dalam negara sedangkan saya bercakap mengikut fakta yang jelas dan tidak menyalahi undang-undang.

“Saya cakap mengikut Perlembagaan Negara yang mana kedudukan Malaysia sebagai Tanah Melayu, bila cakap Tanah Melayu mereka cakap saya rasis “ katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada sidang media khas di Yayasan Al-Bukhary di sini, hari ini.

Pada 27 Julai lalu, Dr. Mahathir memuat naik satu ciapan di akaun Twitter yang mendakwa Malaysia bukanlah sebuah negara berbilang bangsa.

Selain itu, jelas Dr. Mahathir, setakat ini beliau dirakamkan keterangan oleh pihak polis sebanyak lapan kali sejak pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga kini.

“Ini (Malaysia bukan negara berbilang bangsa) perlu diterangkan kepada rakyat. Kita tak perlu tukar corak atau perlembagaan. Itu sebab saya dirakam dan disoal mengapa cakap macam itu.

“Saya nyatakan masalah dihadapi sekarang ini. Orang Melayu hadapi banyak masalah, rupanya tak boleh cakap macam itu,” katanya. 

Dalam pada itu, Dr. Mahathir memaklumkan kesediaannya untuk menjawab segala baki persoalan sekiranya dituduh di mahkamah atas kesalahan hantarannya di Facebook itu. 

Katanya, beliau turut menyatakan negara sedang bergerak ke arah ‘police state’ selepas mendakwa kerajaan mengambil tindakan sesuka hati tanpa mengikut undang-undang.

“Kita dapati keadaan dalam negara pelik, seolah tidak lagi mengikut undang-undang, (tetapi) ikut suka hati.

“Polis boleh bertindak walaupun tiada kes. Bagi saya ini (kerajaan) diktator. Dia (Anwar Ibrahim) mempunyai sifat yang membuat keputusan sesuka hati,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN