PETALING JAYA: Dua lelaki Myanmar dipercayai terlibat jenayah pecah masuk dengan menyasarkan kawasan perumahan tiada pengawal keselamatan di sekitar Ampang Jaya di sini ditahan polis, tengah malam tadi.
Ini selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang mekanik berusia 29 tahun pada 8.30 pagi semalam yang menyedari rumahnya dipecah masuk di Taman Melur di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa kemudian menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang lelaki tidak dikenali memecah masuk kediamannya.
Katanya, suspek dikesan mengambil seutas jam tangan berjenama dan alat pengecas bateri.
“Susulan itu pada 12.30 tengah malam tadi, polis yang menjalankan Op Pintu menahan dua lelaki Myanmar berusia 25 dan 40 tahun di Kampung Baru Ampang kerana disyaki terbabit kes itu.
“Suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah, suspek kedua mempunyai empat rekod jenayah dan narkotik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ujian air kencing ke atas suspek pertama dan suspek kedua positif dadah amphetamine, methamphetamine dan morfin.
Jelas beliau, polis kemudian membuat rampasan sebuah bagasi, tujuh utas jam tangan pelbagai jenama, sebuah alat pengecas bateri, tujuh telefon bimbit pelbagai jenis, sehelai baju warna hitam dan sehelai seluar.
“Suspek dipercayai menyasarkan kediaman yang tidak mempunyai pengawal keselamatan.
“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN