Dua remaja direman curi wang masjid

Dua remaja direman curi wang masjid

DUA remaja lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan kes pecah masuk dan mencuri wang milik Masjid Ar-Rahmah di Guar Chempedak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua remaja lelaki termasuk seorang daripadanya di bawah umur yang disyaki memecah masuk dan mencuri wang Masjid Ar-Rahmah di Guar Cempedak pada malam Ahad lalu direman selama empat hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 15 dan 19 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Noor Fazlina Musa bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, kedua-dua suspek ditahan di Kampung Kabu 10, Jalan Sungai Limau Dalam, dekat sini pada pukul 6.30 petang, semalam.

“Sebaik ditahan kedua-dua suspek mengaku memecah masuk dan mencuri wang berjumlah RM2,000 milik masjid berkenaan dan melakukan perbuatan sama di sebuah lagi masjid di daerah itu sebelumnya.

“Pemeriksaan lanjut ke atas remaja berumur 19 tahun itu menemukan dua peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu di dalam seluarnya serta sebuah telefon bimbit milik masjid yang turut dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Shahnaz, semakan mendapati dua remaja itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing yang mengesahkan remaja berumur 19 tahun positif dadah jenis Methamphetamine.

“Dua remaja itu diburu sejak Isnin lalu selepas perbuatan mereka memecah masuk dan menyelongkar bilik imam dan bilik gerakan masjid pada pukul 11.19 malam dirakam kamera litar tertutup (CCTV),” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN