Tanjung Malim: Bahasa Melayu yang mudah difahami dan dipelajari mendorong dua wanita Uzbekistan mendalami bahasa lingua-franca itu sehingga akhirnya mereka menjadi pensyarah di tanah air mereka.
Kedua-dua mereka menjalani program Program Mobiliti Inbound Tenaga Pengajar Bahasa Melayu Antarabangsa (Uzbekistan) di Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris dari 3 hingga 23 Ogos lalu.
Mereka ialah Munisa Mukhtarova Mukhitdinovna dari Uzbekistan State World Languages University (UzSWLU) dan Mamatkulova Mahliyo Baxtiyor Qizi dari Tashkent State University of Oriental Studies (TSOUS).
Munisa berkata, beliau teruja dapat mempelajari bahasa Melayu sejak enam tahun lalu dan sudah 10 tahun mengajar di Uzbeskitan.
Katanya, di UzSWLU pelajar diberi motivasi dengan dipertontonkan video tentang Malaysia dan diwujudkan perpustakaan kecil yang mengandungi bahan-bahan pembacaan berkaitan bahasa Melayu.
Justeru, menurutnya, pelajar berasa mudah dan mempunyai banyak maklumat tentang bahasa Melayu, malah ramai lagi pelajar Uzbekistan berhasrat datang ke UPSI.
“Strategi dalam pengajaran saya, kalau pelajar lambat masuk kelas, mereka dikehendaki berpuisi atau menyanyi dalam bahasa Melayu,” katanya yang turut belajar bahasa Arab, Cina dan Rusia.
Beliau berkongsi pengalaman itu dalam Wacana Ilmu ‘Bahasa Melayu Di Laluan Sutera’ di Dewan Sri Tanjung, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, semalam. Ia dipengerusikan oleh Dr. Noor Zuhidayah Muhd. Zulkifli.

Bagi Mamatkulova yang mula mempelajari bahasa Melayu pada tahun 2015, pengalaman menyertai Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu lima tahun lalu di Terengganu menjadi kenangan manis dan terkesan di hatinya.
“Saya bangga dapat mengajar bahasa Melayu di Uzbekistan, malahan setiap tahun terdapat pengambilan pelajar.
“Antara yang baiknya belajar bahasa Melayu, pelajar berpeluang memperolehi pekerjaan dengan mudah seperti menjadi sukarelawan, menjadi penterjemah kepada pelancong luar, bekerja di kedutaan serta tentera.
“Di TSUOS sekarang, kami mempunyai 170 pelajar program bahasa Melayu kerana menyedari terdapat peluang yang luas jika boleh berbahasa Melayu dan diharap ia semakin berkembang seterusnya berjaya membuka Fakulti Bahasa dan Kesusasteraan Melayu,” katanya.
Sementara itu, Dekan FBK, Prof. Madya Dr. Maizura @ Mastura Muhammad berkata, kehadiran kedua pensyarah berkenaan adalah sebahagian daripada misi FBK mengorak langkah ke peringkat antarabangsa menerusi Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu (JBKM).
Beliau berkata, bahasa Melayu perlu diagungkan dan diperkasakan malah terasa bangga apabila penuturnya dari negara luar dapat bertutur bahasa Melayu dengan baik.
Pengarah Program, Dr. Ariff Mohamad pula memberitahu, sepanjang berada di Tanjung Malim, mereka dibawa melawat dan menikmati keindahan kawasan sawah padi di Sabak Bernam, Putrajaya dan Kuala Lumpur. – UTUSAN










