KUALA TERENGGANU: Dua beradik yang yatim piatu setelah kehilangan ibu bapa dalam kemalangan April lalu menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bermula bulan ini.
Che Ku Nur Batrisya Che Ku Yusof Ali, 18, dan adiknya, Che Ku Furqan Izuddin, 11, menerima faedah pengurusan mayat RM2,000 dan faedah pencen penakat bulanan berjumlah RM1,109.99.
Bantuan itu diserahkan kepada ibu saudara mereka, Fatimah Ahmad, 50, selaku penjaga sehingga dua beradik itu berusia 18 tahun atau sehingga tamat ijazah pertama.
Menurut Fatimah, sumbangan itu dapat meringankan beban dia dan suami, Alias Ab. Rahman, 58, bagi menampung kos rawatan, persekolahan dan kegunaan harian anak saudaranya itu.
“Sebelum ini saya dan suami hanya bergantung kepada hasil perniagaan kedai runcit dan sumbangan orang ramai untuk membeli keperluannya seperti lampin pakai buang.
“Selain dua beradik itu, kami juga ada tanggungan tiga orang anak yang masih bersekolah. Jadi kami sangat bersyukur dengan bantuan ini,” ujarnya yang tinggal di Felda Belara dekat sini.
Semalam, keluarga itu dikunjungi Perkeso yang disertai Ketua Cawangan Skuad Prihatin Bahagian Sinergi, Rosmasita Mohamed serta Pengarah Perkeso negeri, Farihah Che Husin.
Dalam kejadian 21 April lalu, Perodua Myvi dipandu Che Ku Yusof Ali hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah bas dari arah bertentangan yang turut meragut nyawa isterinya, Siti Faridaf Ahmad.
Kemalangan dekat Kampung Sungai Ikan itu juga mengakibatkan pemandu bas meninggal dunia makakala Che Ku Nur Batrisya cedera parah dan dirawat di hospital selama lebih dua bulan.
Che Ku Furqan Izuddin pula terselamat selepas tidak turut serta bersama ibu bapa dan kakaknya itu yang keluar membeli barang keperluan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu, Rosmasita pula memberitahu, Perkeso juga telah mengiktiraf Che Ku Furqan Izuddin sebagai anak angkat bertujuan memastikan kelangsungan hidup dan masa depannya terjaga.
“Kami berharap bantuan kewangan ini sedikit sebanyak membantu waris atau penjaga dari sudut tanggungan rawatan, persekolahan serta lain-lain keperluan dua beradik itu,” katanya. – UTUSAN