KUALA LUMPUR: Baru dua minggu bercerai talak satu dengan bekas suami, pelakon, Diana Danielle, 32, mengakui sedikit kekok bergelar ibu tunggal.
Jika dulu, pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson ini berkata, segala perkara dapat dikongsikan dan dilakukan bersama pasangan.
“Sedikit (rasa kekok). Selama ini semuanya ada pasangan, kita ada seseorang untuk berbincang. Saya ini agak fragile (rapuh) dalaman dan sangat sensitif.
“Namun, ia adalah pilihan dan saya perlu belajar menyesuaikan diri. Saya bersyukur sebab mempunyai sokongan kuat di sekeliling termasuk rakan-rakan media, rakan dan ahli keluarga,” katanya selepas pelancaran single baharu berjudul Bersama Dengan Rindu di Datum Jelatek, semalam.
Walaupun sedang melalui tempoh iddah, Diana berkata, dia tetap bersyukur kerana ujian hidup yang ditempuhinya tidak sebegitu hebat seperti wanita lain yang diuji.
“Apa yang saya lalui tidak seteruk orang lain. Wanita lain mungkin tiada pekerjaan atau tiada tempat untuk bergantung.
“Saya masih ada karier dan sistem sokongan yang baik. Kesusahan yang saya alami ini masih boleh diuruskan sendiri. Saya hargai semua sokongan. Kalau saya fokus benda yang tidak baik sehingga jadi stres orang bukan kisah pun,” katanya.
Disoal tidak menghormati tempoh iddah, Diana meminta maaf sekiranya tindakannya selama ini bertentangan dengan panduan agama.
“Saya mungkin ada tersilap langkah. Saya minta maaf. Kadang-kadang, saya tak sedar perkara itu sensitif.
“Saya ambil dan terima segala teguran serta akan memperbaiki diri di masa depan,” ujarnya.
Ditebak soal jodoh selepas habis tempoh iddah kelak, Diana enggan memberikan sebarang harapan walaupun sedar dirinya masih muda.
“Saya tiada jawapan,” jawabnya ringkas.
Pada masa sama, dia juga memaafkan segala kekhilafan yang pernah timbul sepanjang bergelar suami dan isteri dahulu.
“100 peratus (maafkan Farid). Memaafkan itu sebenarnya lebih untuk diri kita. Ia lebih mudah untuk kita move on dan menjadi manusia yang lebih baik.
“Maaf itu semuanya untuk kita. Orang (individu buat salah) itu tidak terkesan pun (bercakap secara umum). Baik mencintai atau membenci seseorang, ia untuk diri kita juga,” katanya.
Pergolakan rumah tangga pasangan pelakon sensasi, Farid Kamil, 42, dan Diana berakhir dengan cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari.
Lafaz cerai dilakukan Farid menerusi aplikasi Google Meet di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Diana mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.