PETALING JAYA: Dakwaan kononnya keselamatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor terancam adalah provokasi berniat jahat untuk menarik simpati rakyat, kata Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.
Menurut bekas Setiausaha Majlis Syura Pas itu, naratif yang sedang dikembangkan parti lamanya itu turut mencipta kebencian terhadap lawan politik.
Tegas beliau, jika benar berlaku kezaliman terhadap mana-mana piha,k beliau sendiri akan tampil mempertahan individu tersebut.
“Naratif yang sedang dikembangkan oleh Pas sekarang adalah keselamatan MB Kedah terancam dan ada perancangan jahat terhadap beliau. Ini adalah provokasi berniat jahat dalam saingan politik sihat untuk menarik simpati rakyat malah mencipta kebencian terhadap lawan politik.
“Jika benar berlaku saya sendiri akan tampil mempertahankan seseorang daripada kezaliman,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya.
Beliau berkata demikian susulan ketidakhadiran Muhammad Sanusi ke Ceramah Mega Perikatan Nasional bersama MB Kedah adalah disebabkan dinasihatkan untuk tidak menghadirinya atas faktor keselamatan.
Perkara itu diumumkan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mendakwa, Muhammad Sanusi dinasihatkan tidak berada di pentas ceramah berikutan faktor keselamatan.
“Pagi tadi MB mesyuarat di Kuala Lumpur yang membincangkan perkara besar dan daripada itu dinasihatkan beliau untuk tidak meneruskan ceramah pada malam ini kerana ada ‘perangkap’ yang dipasang oleh musuh.
“Perangkap itu mengkehendaki MB kita masuk ke dalam itu, dia pegang dan buat sesuatu yang tidak dijangka, waktu ini kita kena sedia dengan segala kemungkinan, saya dah sebut dah, dalam tempoh sehari dua ini kemungkinan akan berlaku sesuatu yang dahsyat,” dakwanya.
Mohd. Khairuddin berkata, pendakwaan ke atas kes Muhammad Sanusi bagi kesalahan menghina Sultan Selangor, perbicaraannya sudah ditetapkan.
“Isu kecurian nadir bumi perlu diambil tindakan menurut lunas undang-undang. Ada pun dalam pilihan raya kita bersaing tanpa memerlukan provokasi membabitkan keselamatan seseorang.
“Rakyat semakin celik tidak terpengaruh dengan provokasi sebegini dalam arena demokrasi,” katanya. – UTUSAN