Cikgu Jalal mohon diberi peluang berbakti di Kuala Berang

Cikgu Jalal mohon diberi peluang berbakti di Kuala Berang

JALALUDIN Ismail (tiga dari kanan) beramah mesra dengan seorang pengunjung ketika berkempen di sebuah pasar di Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Pengalaman calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, Jalaludin Ismail selama 33 tahun dalam dunia pendidikan di Terengganu menjadi pertaruhan penting kepada penduduk di kawasan tersebut.
Beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Jalal berkata, sebagai anak jati Kampung Telaga, Kuala Berang, dia berhasrat menggilap potensi masyarakat jika diberi kepercayaan oleh pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Bekas Timbalan Ketua Nazir Sekolah Kanan (Peranca­ngan Penaziran), Jemaah Nazir Kementerian Pendidikan itu berkata, DUN Kuala Berang umpama permata yang masih belum digilap sepenuhnya dan berjanji BN akan membawa perubahan signifikan sekiranya menang pada PRN kali ini.
“Antara harapan cikgu jika diberi peluang dan ruang ialah mahu melihat kewujudan lebih banyak pusat pendidikan seumpama institut pendidikan tinggi (IPT) di Kuala Berang agar lebih banyak manfaat dapat dinikmati penduduk sekitar.
“Akujanji BN Terengganu memberi penekanan terhadap bidang pendidikan dan terbukti sebelum ini kita banyak melakar sejarah kecemerlangan dalam dan luar negara melalui peruntukan besar dan kecaknaan BN,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, semalam.
Jalaludin memberitahu, janji BN Terengganu untuk meneruskan pembinaan Le­buhraya Pantai Timur (LPT3) sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri juga akan membantu merancakkan lagi Kuala Berang sebagai pusat aktiviti ekonomi, pelancongan, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), pertanian dan menarik lebih ramai pelabur dari luar.
“Kuala Berang terkenal sebagai pusat jualan jagung, sayur-sayuran dan hasil tani yang lain. Cikgu akan perkasakan anak muda untuk terlibat dalam industri ini secara serius melalui amalan pertanian moden de­ngan mesin teknologi canggih serta dipasarkan secara dalam talian.
Sokongan padu daripada bekas wakil rakyat Kuala Berang sebelum in, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dengan #KitaOKB dalam berkempen turut menyemarakkan lagi semangat jentera dan penyokong BN merampas kembali DUN tersebut.

Latar belakang
Pendidikan
» Ijazah Sarjana Muda Kemanusiaan dengan Pendidikan (Universiti Sains Malaysia: Julai 1986 – April 1990)
Kerjaya
» Timbalan Ketua Nazir Sekolah Kanan (Perancangan Penaziran), Jemaah Nazir Kementerian Pendidikan Malaysia (Mac 2023 – Julai 2023)
» Ketua Nazir Negeri Terengganu (Februari 2022 – Mac 2023)
» Ketua Sektor Jaminan Kualiti Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (Januari 2019 – Oktober 2019)
» Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu (Ogos 2015 – Disember 2018)
Politik
» Timbalan Pengerusi Penyelaras DUN Kuala Berang (2014 – 2018)
» AJK UMNO Bahagian Hulu Terengganu (2014 – 2018)
» AJK Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu (1999 – 2004) –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN