Mukadimah
PENYERTAAN bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, NG SUEE LIM sebagai calon N.04 Sekinchan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini menyaksikan dekad baharu beliau sebagai wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) daripada DAP.
Bersama wartawan, MOHAMAD ATHIR ISMAIL, Suee Lim yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor berkongsi perjalanan politiknya sejak 1999 bersama parti itu daripada bergelar pembangkang hingga menjadi Speaker.
Sepanjang tempoh empat penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, bagaimana melihat DAP membina kekuatan di Selangor?
Selama pengalaman di Selangor, kali pertama bertanding pada 1999 tetapi kalah, amat sukar kerana DAP lemah, saya menang pada 2004 dengan 344 undi dan memulakan pengalaman sebagai pembangkang bersama Datuk Teng Chang Kim, dua lawan 54 ADUN Barisan Nasional (BN).
Pada PRN kali ini menunjukkan peningkatan satu kerusi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan 14 kerusi, kenapa DAP begitu yakin?
Bagi DAP, dapat kawasan mana pun kita menang sebab berpaksikan track record di Selangor dan pusat, kita parti yang paling berdisiplin, tak ada banyak lompat dan tidak mengkhianati kawan, suka, duka, susah dan senang bersama.
Adakah DAP menolak politik ekstrem di Selangor dan dalam masa sama masih berdepan persepsi sebagai parti yang rasis terhadap Melayu dan Islam?
Ya, itu satu ketika dahulu, kita mengaku DAP dianggap dan dimomokkan sedemikian. Sesungguhnya kita mahu satu masyarakat yang bertoleransi, inklusif, harmoni dan saling menghormati. Kita mahu bina budaya politik baharu yang mana DAP dianggap bukan sahaja untuk orang Cina, kita adalah parti untuk rakyat Malaysia.
Adakah, DAP kini terus mendekati orang Melayu dan kelebihan yang ada pada Yang Berhormat (YB) iaitu fasih berbahasa Jawa mempesona pengundi kaum itu?
Itu kelebihan yang ada pada saya, syukur kerana diberi kelebihan seperti ini, di kampung dahulu bergaul dengan masyarakat Jawa dan sebagainya, jadi dengan kekuatan itu, mudah mendampingi masyarakat Jawa dan Melayu. Cakap bahasa apa pun, yang penting cakap serupa bikin.
Bagaimana YB boleh menguasai bahasa etnik tersebut sehingga mampu membantu dalam karier politik?
Saya belajar sedikit demi sedikit dan tidak sangka ia amat berguna kepada saya, tetapi ketika itu saya belajar sebab hendak lawan ejekan geng-geng Jawa dan akhirnya saya fasih berbahasa Jawa. Apabila saya berkecimpung dalam politik, bahasa Jawa ini menjadi kelebihan kepada saya. – UTUSAN










