Butterfingers balas dendam, tiket hampir separuh terjual - Utusan Malaysia

Butterfingers balas dendam, tiket hampir separuh terjual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lama memendam kerinduan untuk tampil di panggung sendiri yang terbantut akibat pandemik, kumpulan Butterfingers akhirnya bersedia ‘membalas dendam’ dengan sebuah konsert Oktober nanti.

Butterfingers yang diterajui LoQue atau Khairil Ridzwan Annuar berkata, idea ini sudah lama disimpan sejak kejayaan Konsert Transcendence pada tahun 2019, namun terbantut akibat dunia diserang pandemik untuk beberapa tahun.

Melihat 2023 sebagai tahun yang baik, mereka membulatkan tekad untuk hadir dengan sebuah konsert yang diberi nama Konsert Malayneum 23 yang bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 7 Oktober.

“Butterfingers percaya semua pendengar dan pengikut kami sentiasa dahagakan persembahan kami secara langsung.

“Malayneum diangkat sebagai nama konsert sebagai memperingati dua dekad kewujudan album itu sehingga kini.

“Ketika album ketiga Butterfingers bernama Transcendence belum benar-benar menempa nama, kami sudah menerbitkan Malayneum tanpa meraikan album ini sepenuhnya,” dedah LoQue ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Malayneum 23.

Mengimbau kembali persembahan semasa konsert terakhir mereka pada tahun 2019, kini mereka lebih teliti mengambil berat perihal kesihatan demi mengelakkan kejadian pemain bass berhenti di tengah persembahan akibat sesak nafas berulang kembali.

“Kami sentiasa mengambil ikhtibar dan memperbaiki mutu persembahan. Demi mengelakkan perkara yang lama kembali, kami sangat menekankan perihal kesihatan.

“Menjelang hari konsert, kami banyak melakukan senaman, jaga makan dan tidak mengambil gula berlebihan. Kita hanya mampu merancang dan diharap peristiwa lalu tidak akan berulang,” tambah vokalisnya, Emmet.

Bakal membawakan lebih 20 lagu, Butterfingers mendedahkan bukan mudah untuk memilih senarai lagu bagi dipersembahkan di konsert itu nanti.

Namun begitu, mereka bercadang untuk turut membawakan lagu-lagu yang jarang dipersembahkan di mana-mana konsert mereka sebelum ini.

Walaupun jualan tiket baru sahaja dibuka pada 15 Ogos lalu, hampir separuh tiket sudah terjual. Harga tiket boleh dibeli bermula RM99 (Ginseng), RM135 (Suddenly), RM199 (Pacific) dan RM249 (Mating Season).

Manakala untuk zon berdiri, harga tiket boleh didapati pada harga RM169 (Malayneum). Tambahan tempat duduk utama boleh dibeli dengan harga bermula RM499 (Malayneum Deluxe).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN